Sinopsis Peluang Kedua, Cerekarama TV3

Drama Peluang Kedua mengisahkan perkahwinan Marina (Yasmin Hani) bersama suaminya, Halim (Azhan Rani) yang menjangkau 15 tahun dirasakan semakin hambar.

Pada awal perkahwinan, Marina mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi memberi perhatian penuh kepada rumah tangga, anak dan suami. Setiap hari dia sibuk menguruskan tiga anaknya, NabilL (14 tahun), Lisa (13 tahun) dan Adio (6 tahun) sambil memastikan rumah sentiasa bersih dan cukup makan minum. Marina sukakan peranannya sebagai suri rumah, tetapi lama kelamaan dia merasakan dirinya tidak dihargai. Perasaan itu bertambah teruk dalam keadaan emosinya yang tidak menentu kerana sedang mengandung dan menunggu hari untuk bersalin.

Suaminya, Halim adalah seorang arkitek yang berjaya tetapi apabila tiba soal menjaga anak dan menguruskan rumah tangga, dia seperti suami yang tradisional, hanya tahu melepaskan segala-galanya ke bahu isteri. Halim juga selalu mengharapkan yang ‘lebih’ daripada Marina kerana dia merasakan isterinya itu ‘hanya duduk rumah’ sepanjang hari. Dia suka membandingkan Marina dengan ibunya yang juga seorang suri rumah.

Pada suatu malam, berlaku satu insiden menyebabkan Halim dan Marina bergaduh. Mereka saling menuduh, tidak mahu mengalah serta membongkarkan segala yang terpendam di hati.

Pergaduhan yang bermula dengan satu perselisihan faham kecil bertukar menjadi perbalahan yang semakin teruk. Ketika itu, anak mereka berada di bilik bersebelahan dan mendengar pergaduhan ibu bapa mereka. Dalam kerisauan yang teramat sangat, mereka berdoa bersungguh-sungguh agar ibu bapa mereka kembali menyayangi seperti dulu.
Click Here

Tuhan Maha Kaya, dengan berkat keikhlasan hati anak-anak itu, doa mereka dimakbulkan. Keesokan harinya, Halim dan Marina bangun pagi dan mendapati badan mereka bertukar. Marina melihat dirinya dalam badan suaminya dan Halim terjaga dalam badan isterinya yang sarat mengandung. Keadaan kecoh pada mulanya kerana mereka sukar untuk percaya dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, akhirnya mereka bersetuju untuk berlakon dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Marina dengan tugas Halim yang menanti di pejabat dan Halim menguruskan rumah serta anak-anak mereka. Dalam kecelaruan itu, mereka terpaksa berlakon sebaik mungkin kerana tidak mahu sesiapa pun tahu perkara pelik yang sedang berlaku.

‘Halim’ terpaksa menyesuaikan diri menjalankan semua tugas isterinya dalam keadaan badan yang mengandung. Keadaan lebih teruk ketika ibunya datang untuk bermalam di rumah mereka. Sehari berada dalam badan Marina, barulah dia nampak sifat sebenar ibunya. Berada di tempat Marina juga, barulah ‘Halim’ menyedari betapa selama ini dia tidak menghargai pengorbanan dan kerja keras yang dilakukan oleh isterinya.

‘Marina’ pula terpaksa melalui hari yang mencabar di pejabat suaminya. Dia juga berjaya berdepan dengan wanita yang mula mengganggu suaminya dan akhirnya memahami betapa suaminya amat menyayanginya dan anak-anak.

Pertukaran itu berlaku selama 2 hari, tetapi waktu yang singkat dapat mengajar dan menyedarkan mereka mengenai diri masing-masing. Pertukaran itu juga membuatkan mereka menemukan semula kasih sayang yang sudah pudar. Dua hari itu bukan hanya satu keajaiban yang penuh kecelaruan dan kekecohan, tetapi memberi mereka peluang kedua mengeratkan kasih sayang mereka semula.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top