Bagaimanapun, kredibiliti Shaheizy Sam yang kini muncul dengan filem Nongkrong dilihat sedikit tercalar apabila tidak lagi dipilih peminat sebagai artis paling popular, khususnya pada Anugerah Bintang Popular 2011 yang lalu. Sebaliknya gelaran tersebut kini menjadi milik aktor kacak dan sasa, Aaron Aziz.
Sehinggakan ada sesetengah pihak menganggap populariti adik kepada pelakon Zizie Ezette ini sudah mula merudum, malah realitinya Sam sememangnya kini perlu bersaing hebat dengan ramai lagi pelakon baharu yang muncul.
Pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Sam memberitahu dia tidak pernah kecewa dengan kekalahan tersebut dan akur apabila gelaran tersebut sudah mula bertukar tangan.
“Secara jujurnya kegagalan saya mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi pada tahun lalu itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.
“Bagi saya, segala pengiktirafan yang diperoleh itu bergantung kepada rezeki masing-masing, bukan disebabkan populariti seseorang pelakon itu sudah jatuh. Tewas tidak bermakna peminat sudah mula melupakan saya,” ujar pelakon berusia 30 tahun itu.
Menurut Sam, sepanjang enam tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, dia memberitahu sokongan peminat merupakan faktor utama sehingga mampu berada pada tahap sekarang.
“Saya percaya peminat-peminat sudah banyak bertungkus-lumus dan harapan mereka juga sangat tinggi untuk memastikan saya dapat mengulangi kejayaan sebelum ini. Jadi, saya tidak mahu mereka terlalu kecewa dan anggap sahaja tiada rezeki saya pada tahun ini,” ujarnya.
Sam bagaimanapun menegaskan kekerapan dirinya muncul di layar perak bukan merupakan faktor dia tidak lagi menjadi pilihan majoriti peminat untuk anugerah artis popular itu.
Katanya lagi, jika ada sebilangan pelakon yang hanya memilih tawaran tertentu untuk berlakon kerana mahu menjaga nilai eksklusif, Sam pula bertindak sebaliknya apabila menerima apa sahaja tawaran yang diberikan.
“Selagi ada pihak yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai pelakon, apa salahnya kalau saya terima. Inilah masa yang paling sesuai untuk saya terima apa sahaja peluang yang datang sebelum saya dilupakan suatu hari nanti.
“Lagipun pelakon di Malaysia tidak sama seperti di Hollywood yang berlakon satu atau dua filem setahun kerana bayaran yang diterima sudah tinggi. Jadi, saya tidak boleh terlalu memilih kerana ini satu-satunya bidang yang saya ceburi untuk mencari rezeki,” ujarnya.
Mengenai langkah persediaan yang dilakukannya untuk jangka masa panjang, Sam memberitahu kini dia sudah mula merancang untuk bergelar seorang penerbit drama menerusi syarikat produksi miliknya, Kat & Kids Production.
Ujarnya, sebagai langkah permulaan dia mahu lebih fokus kepada penghasilan drama dan telefilem sebelum menerbitkan filem dan buat masa ini dia masih lagi berusaha mencari skrip yang bersesuaian.
“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan kakak saya, Zizie Ezette dengan menerbitkan sebuah telefilem berjudul Nyanyian Sakratul Maut menerusi syarikatnya iaitu BZ 2121 Production,” jelas Sama yang juga kerap tampil dalam drama bersiri.
Kaki nombor
Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya berjudul Nongkrong yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia hari ini, Sam memberitahu dia memegang watak sebagai Bada yang merupakan seorang kaki nombor ekor.
Menurutnya, filem berkenaan bukan kesinambungan kepada filem Ngangkung yang pernah mencatatkan kutipan sebanyak RM8.5 juta pada tahun 2010, sebaliknya ia merupakan sebuah filem yang langsung tidak berkaitan serta penceritaan yang berbeza.
“Saya melihat cerita dan konsep filem Nongkrong ini agak sama dengan Ngangkung. Kedua-duanya menceritakan tentang menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan nombor ekor, cuma yang berbeza adalah jalan ceritanya sahaja.
“Jika dalam filem Ngangkung saya memegang watak sebagai seorang bapa yang dipengaruhi oleh rakan untuk bermain nombor ekor, namun dalam Nongkrong saya pula yang mempengaruhi rakan saya untuk melakukan perbuatan tersebut,” jelasnya.
Nongkrong menceritakan tentang tiga orang pemuda, Bada, Aman (Angah Raja Lawak) dan Cumi (Epy Raja Lawak) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan mudah iaitu bermain nombor ekor.
Selain Sam, Angah Raja Lawak dan Epy Raja Lawak sebagai teraju utama, filem tersebut turut menampilkan beberapa orang pelakon lain seperti Mon Ryanti, Fyza Kadir, Liana Rafiai dan Nuremy Ramli.
“Mengenai gandingan saya bersama Angah memang tiada masalah kerana kami sudah kerap berlakon bersama-sama. Dengan Epy saya baru kali pertama bergandingan dengannya, namun dia sememangnya seorang pelakon bagus,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan