Filem What to Expect When You're Expecting diinspirasi dari sebuah buku panduan kehamilan yang terjual sebanyak 15 juta naskhah tahun lalu, tulisan Heidi Murkoff berjudul “What to Expect When You’re Expecting”.Persoalannya, mampukah buku panduan untuk ibu mengandung dijadikan filem, sekali gus menarik minat orang ramai memenuhi panggung?
Jawapannya adalah “ya”. Ini kerana filem ini bukan saja mengangkat tema yang amat jarang untuk diketengahkan tetapi juga mengumpan penonton dengan jenaka bersahaja serta lakonan mantap aktor dan aktres gred A.
Bukan mudah untuk bergelar ibu dan bapa. Jika tiada persediaan mental dan fizikal, seharusnya lupakan saja hasrat murni itu. Mungkin pengalaman lima pasangan yang menjadi fokus utama dalam filem ini dapat membantu mana-mana pasangan yang sudah pun membuat keputusan untuk memulakan kehidupan keluarga.
Jurulatih kecergasan, Jules dan pasangannya, seorang peserta bintang realiti, Evan, menyedari kehidupan mereka sebagai selebriti menjadi halangan untuk kedua-duanya membesarkan anak.
Pasangan kedua, seorang penulis buku berkaitan bayi, Wendy, berdepan masalah hormon, sekali gus menjadikannya dia tidak selesa dengan kehamilan pertama. Suaminya, Gary, pula berusaha untuk tidak terus dibayangi bapanya, seorang pelumba kereta terkenal yang juga sedang menanti kelahiran bayi kembar hasil perkahwinan dengan wanita muda.
Ketika yang sama, seorang jurugambar, Holly, begitu teruja untuk mengambil anak angkat dari Ethiopia selepas mendapati dirinya sukar untuk mendapatkan zuriat sendiri. Bagaimanapun, suaminya, Alex, tidak pasti sama ada keputusan yang diambil itu tepat ataupun sebaliknya.
Sementara itu, sepasang anak muda iaitu Rosie dan Marco, terperangkap dengan perbuatan mereka sendiri apabila si gadis hamil tanpa dirancang.
Melalui kisah lima pasangan ini, penonton diajak untuk berkongsi kisah suka duka dan pengalaman mereka sebelum kelahiran zuriat pertama masing-masing.
Bukan saja dari segi ilmu keibubapaan yang harus dititikberatkan tetapi juga persediaan mental kerana proses kehamilan setiap insan tidak sama.
Melalui watak rekaan inilah si penulis bercerita mengenai pasang surut sesebuah hubungan hanya disebabkan kehadiran seorang bayi.
Bagi mereka yang pernah menyaksikan filem “Love, Actually dan Valentine’s Day”, plot cerita ini tidak banyak beza dengan dua filem terbabit yang menggabungkan lima kisah tersendiri dalam sebuah filem. Penulisnya bijak mencantumkan kisah mereka berlima dengan cara cukup kreatif.
Filem ini menggunakan formula amat mudah untuk menarik penonton ke pawagam, iaitu dengan mengundang pelakon popular dan hebat seperti Cameron Diaz, Jennifer Lopez, Dennis Quaid, Matthew Morrison membintangi filem itu. Kehadiran mereka sudah cukup untuk menjadi umpan kepada peminat setia masing-masing menyaksikan filem arahan Kirk Jones itu.
Bagi mereka yang bakal bergelar ibu dan bapa, filem ini boleh menjadi alternatif untuk mereka mendapatkan nasihat berguna kerana gelaran itu tidak akan datang tanpa diiringi tanggungjawab yang amat besar.
Trailer What to Expect When You're Expecting
Filem: What to Expect When You're Expecting
Pelakon: Cameron Diaz, Jennifer Lopez, Elizabeth Banks, Chace Crawford, Ben Falcone, Anna Kendrick, Matthew Morrison, Dennis Quaid, Chris Rock, Rodrigo Santoro
Pengarah: Kirk Jones Penulis: Shauna Cross, Heather HachGenre: Komedi, Drama, RomantikDurasi: 110 minit
0 ulasan:
Catat Ulasan