TV3 meraikan hari Ibu dengan pelbagai filem menarik yang tidak lapuk ditelan zaman seperti Bawang Putih Bawang Merah dan Laila Majnun lakonan Latifah Omar dan Umi Kalthom, Perempuan Melayu Terakhir gandingan Vanida Imran dan Datuk Eizlan Yusof serta Isabella lakonan Amy Search dan Nia Dzulkarnain menerusi slot Wayang, setiap Ahad jam 3 petang.
Bagi mereka yang merindui lakonan Rita Rudaini, saksikan drama terbarunya berjudul Teratak Shamsiah yang bakal menghiasi slot Cerekarama TV3 pada Sabtu, 12 Mei ini, jam 10 malam. Drama arahan Emi Suffian ini mengisahkan kesungguhan seorang ibu untuk menghidupkan surau dan kegiatan agama di kawasan perumahannya walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan.
Bukan itu saja, TV3 turut mengadakan peraduan Ibu Ku Dunia Ku bagi penonton untuk berkongsi cerita pendek yang paling menarik mengenai persamaan anda dengan ibu anda. Hantarkan cerita pendek anda dalam 100 patah perkataan mengenai `kelakuan pertama ibu yang anda tiru' berserta sekeping foto anda bersama ibu menerusi laman web www.tv3.com.my/ ibukuduniaku sebelum 11 Mei ini. Siapa tahu anda mungkin pemenang bertuah yang memenangi pakej percutian selama tiga hari dua malam dan hadiah wang tunai RM1000!
WAYANG: Bawang Putih Bawang Merah (Ahad, 6 Mei ini, 3 petang)
Pak Ali mempunyai dua orang isteri iaitu Labu dan Kundor. Hasil perkahwinannya pertama, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Bawang Merah. Isteri keduanya Kundor turut melahirkan seorang anak perempuan bernama Bawang Putih. Selepas kematian Pak Ali, hidup Labu dan Bawang Merah semakin terseksa apabila mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja rumah. Tambah menyedihkan, Kundor tergamak membunuh Labu. Hidup Bawang Merah semakin tertekan. Kelembutan, kecantikan dan kemerduan suara Bawang Merah berjaya menambat hati seorang putera raja negeri itu. Putera raja melamar Bawang Merah. Mereka berkahwin dan hidup bahagia. Kundor dan Bawang Putih semakin cemburu. Dalam diam mereka berhasrat untuk menghancurkan perkahwinan itu.
Pelakon: Latifah Omar, Umi Kalthom, Mustapha Maarof, Siti Tanjung Perak, Aminah Yem & Shariff Medan
WAYANG: Perempuan Melayu Terakhir (Ahad, 13 Mei ini, 3 petang)
Haikal ke Terengganu untuk mencari erti Melayu dan menemui Mustika lalu jatuh hati kepadanya, tetapi Mustika bertunang dengan Engku Leh, seorang fundamentalis agama. Ini menyebabkan Haikal dalam dilema dan Mustika juga harus memilih antara Haikal atau Engku Leh.
Pelakon: Vanida Imran, Datuk Eizlan Yusof, Ahmad Yatim, Azri Iskandar, Nanu Baharuddin, Datuk M Nasir & Datin Tiara Jacquelina
WAYANG: Laila Majnun (Ahad, 20 Mei ini, 3 petang)
Laila ialah anak orang kaya Amir dan Qais pula anak kepada Amri yang miskin. Laila dan Qais mula berkasih sejak di bangku sekolah lagi. Orang kaya Amir menentang perhubungan mereka. Laila terpaksa berjumpa Qais secara diam sehinggalah mereka dewasa. Untuk memutuskan perhubungan mereka, orang kaya Amir berpindah dari situ. Sejak itu, Qais merana. Qais bertekad mencari Laila. Pada masa yang sama, Putera Mahkota Iraq singgah di pekan tempat keluarga Laila baru berpindah. Baginda terpandang wajah Laila dan jatuh hati kepadanya. Orang kaya Amir gembira apabila Baginda ingin melamar Laila. Laila dipaksa menerima lamaran itu. Selepas berkahwin, Laila menderita kerana cintanya yang mendalam terhadap Qais. Akhirnya Laila bertemu dengan pasangannya dalam keadaan yang menyayatkan hati.
Pelakon: Nordin Ahmad, Latifah Omar, Umi Kalhtom, Ahmad Nisfu, Habibah Harun & Abu Bakar
WAYANG: Isabella (Ahad 27 Mei ini, 3 petang)
Mengisahkan Isabella, anak gadis dari keluarga kaya dan menyintai penyanyi rock, Amy tetapi ditentang oleh bapanya yang mahukan Robby sebagai menantu. Bella dilarang menemui Amy yang menyebabkan emosi gadis itu menjadi lebih sengsara. Bella sebenarnya menghidap penyakit yang boleh membawa maut.
Pelakon: Amy Search & Nia Dzulkarnain
CEREKARAMA: Teratak Shamsiah (Sabtu, 12 Mei ini, 10 malam)
Shamsiah berpindah ke bandar setelah anaknya, Maizura menyambung pelajaran di sebuah asrama penuh kerana keputusan PMR yang cemerlang. Shamsiah seorang yang ceria, lucu, peramah dan aktif dalam hal ehwal kemasyarakatan dan keagamaan. Shamsiah mahu mengimarahkan surau dengan beberapa aktiviti dan budaya Melayu. Golongan wanita di sana lebih suka pergi ke kelas kecantikan diri di salon Datin Sally.
Maizura mula rimas dan malu kerana Shamsiah sering ke sekolah barunya untuk mengetahui perkembangannya. Firdaus, anak Datin Sally yang bersekolah di situ banyak menasihati Maizura kerana memiliki ibu yang prihatin tidak seperti ibunya yang asyik sibuk dengan bisnes salon saja.
Shamsiah terus sabar dan memikirkan cara lain bagi menarik kaum wanita ke surau sambil dibantu Maizura dan Firdaus. Suami Datin Sally, Datuk Mahathir kagum dengan usaha Shamsiah dan turut memberi sokongan. Datin Sally berasa cemburu dan mula menabur fitnah bahawa Shamsiah cuba menggoda suaminya. Apakah usaha murni Shamsiah untuk menghidupkan surau dan kegiatan agama di kawasan perumahan iti akan berjaya?
Pelakon: Rita Rudaini, Diana Rafar, Jasmin Hamid, Azhan Rani, Reza Hasbi, Ashraf Muslim & Emilia.
PANGGUNG SABTU: We Are Family (Sabtu, 12 Mei ini, 2 petang)
Maya berpindah ke Sydney selepas berpisah dengan suaminya. Aman pula tinggal bersama anak-anaknya yang masih bersekolah, Aaliya, Ankush dan Anjali. Aman yang jatuh cinta terhadap Shreya Arora, seorang pereka fesyen merancang untuk berkahwin dengannya. Aman cuba memperkenalkan Shreya kepada anak-anaknya tetapi mereka tidak menyukai Shreya dan memberi gelaran `Daayan'. Namun, semua berubah apabila Maya disahkan menghidap kanser serviks dan tidak mempunyai masa yang lama untuk hidup.
Pelakon: Kareena Kapoor, Kajol, Amrita Prakash, Iravati Harshe & Aachal Munjal.
CEREKA 3: Serapuh Arang (Jumaat, 11 Mei ini, 10 pagi)
Mengisahkan ketabahan seorang ibu bernama Mak Su. Dia mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Yusof dan Farid. Walaupun hidupnya susah, Mak Su tetap mencuba sedaya upaya dan sanggup memerah keringat hanya untuk membahagiakan kedua-dua anaknya. Suatu hari, Farid meminjam wang ibunya itu sebanyak RM10,000 dan dibelanjakan untuk membeli barang kemas isterinya, Maria. Mak Su memberi tanpa memberitahu Yusof. Yusof yang bekerja di kilang arang membuat keputusan untuk berkahwin dengan Ayu, rakan sekerjanya. Namun, duitnya tidak mencukupi. Mak Su pula hanya mampu mengumpulkan RM8,000 setelah menjual kesemua barang kemasnya. Ini telah menimbulkan kemarahan Yusof.
Pelakon: Khatijah Tan, Fezrul Khan, Fizz Fairuz, Julia Ziegler, Balkish Samundur Khan & Norlia Ghani.
CEREKAPILIHAN: Sejadah Kaabah (Jumaat, 18 Mei ini, 1.30 petang)
Mengisahkan seorang ibu iaitu Lijah dan anaknya, Izah, yang berumur 10 tahun dalam mengharungi keperitan hidup apabila Lijah terpaksa menyara keluarga dengan hanya menjual nasi lemak di kaki lima dan mengambil upah menjahit di waktu malam. Selain Izah, Lijah turut dibantu oleh anaknya yang lain, Yati dan Mail. Gerai Lijah disita oleh DBKL kerana berniaga di kawasan larangan. Di sekolah, Cikgu Jamilah mengumumkan peraduan mengarang bertemakan keluarga peringkat kebangsaan dan pemenangnya akan membawa pulang wang tunai lumayan. Izah berhasrat untuk memasuki pertandingan itu.
Pelakon: Sharifah Shahrizah, Eka Farhana, Esliza Loy, Hanis Kamal & Noorkhiriah.
0 ulasan:
Catat Ulasan