“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Ilahi atas kemenangan ini. Terus-terang saya katakan, kemenangan ini memang tak dijangka kerana saya anggap semua finalis yang bertanding adalah superstar. Alhamdulillah, kemenangan saya bukan saja atas usaha saya seorang, tapi atas usaha peminat yang mengundi saya. Jika mereka tidak mengundi, belum tentu saya akan menang dan bagi saya, tanpa peminat, siapalah saya.
“Terima kasih kepada pengundi, ibu bapa, produser muzik saya, Ahmad Dhani dan pihak pengurusan yang banyak membantu menguruskan kerjaya saya selama ini selain menjadi tulang belakang kepada saya,” ujar Hafiz ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas konsert selesai.
Hafiz yang tampil dengan persembahan memukau menyanyikan lagu Beribu Sesalan duet bersama Siti Sarah Raisuddin serta lagu I Believe I Can Fly, berjaya mengalahkan empat peserta akhir yang lain iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hazama dan juga Aril.
Tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM200,000 pula disandang oleh Stacy yang menyampaikan lagu Takkan Melupakanmu dan Cinta. Manakala Jaclyn Victor mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000. Produser Ahmad Dhani selaku produser Hafiz di bawah empayar Hijau pula tidak pulang dengan tangan kosong dengan berjaya membawa pulang wang tunai RM300,000.
Pada pembukaan konsert tersebut, peserta-peserta yang telah di singkir seperti Adira, Shila Amzah, Akim, Awi Rafael dan Atilia telah membawakan beberapa lagu medley.
Bagaimanapun, kehangatan konsert lebih dirasai dengan kehadiran Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Wings.
Konsert Akhir Mania disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Prima.
0 ulasan:
Catat Ulasan