"Saya dan Adi hanyalah teman dalam bekerja. Kami sama-sama terlibat dengan drama dan filem, itu sahaja," tegas Nora Danish menafikan hubungan istimewanya apabila dikaitkan dengan perceraian aktor terkenal Adi Putra bersama isterinya, Aida Yusof.
Jelas Nora lagi, dia sebenarnya terkejut dengan hasrat Adi untuk bercerai.
"Saya akui, masyarakat mudah membuat tanggapan kerana saya dilihat sebagai wanita yang paling rapat dengan Adi. Kami berlakon bersama. Kami pergi menunaikan umrah bersama-sama. Semasa saya hendak ke Mekah, orang kata saya mahu membawa hati kerana bekas suami, Jejai berkahwin dengan Fasha Sandha. Bila balik orang kata saya pergi berseronok dengan Adi. Kami sebenarnya pergi atas jemputan Triways Travel bersama rombongan peminat. Projek itu dibuat selepas kejayaan drama Tentang Dhia lakonan kami bersama," kata Nora.
Pengakuan jujur Adi yang mahu bercerai tambah mengejutkan apabila tindakan itu dibuat dua hari selepas dia pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.
Adi memfailkan permohonan perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu. Saat itu juga, aktor berumur 31 tahun dan isterinya, Aida Yusof itu baru sahaja menyambut ulang tahun keenam perkahwinan mereka yang dimeterai pada 14 April 2006.
Siapa sangka, impian pasangan yang selama ini mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga itu bakal bertemu penamat yang menyedihkan.
Bercakap kepada Sensasi Bintang, ketegasan Adi berhubung isu itu kedengaran jelas. Dia langsung tidak melenting saat nama Nora Danish ditebak sebagai orang ketiga yang menjadikan rumah tangganya gagal dipertahankan.
Khabar angin itu diperkuatkan dengan tersebarnya gambar-gambar Nora dan Adi sepanjang mereka mengikuti rombongan umrah pada 27 April hingga 8 Mei lalu.
"Kerja tetap kerja dan masalah rumah tangga adalah masalah rumah tangga, itu dua perkara yang berbeza," kata Adi tenang menolak spekulasi.
Ditanya punca retaknya cinta terhadap Aida, Adi enggan menuding jari terhadap mana-mana pihak. Secara ringkas, kata Adi, semuanya berpunca daripada masalah dalaman mereka sendiri.
Berbanding Adi yang lebih terbuka dalam kes ini, isterinya, Aida memilih untuk bersikap tertutup. Barangkali tidak mahu merumitkan keadaan, Aida meminta semua pihak mendoakan kebaikan buat mereka berdua.
Menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas, Aida menulis: "Maafkan saya kerana tidak boleh mengulas panjang. Saya berada di luar negara. Minta doakan yang baik-baik untuk kami. Apabila semuanya selesai nanti, akan saya jelaskan."
Aida memilih untuk merahsiakan lokasi 'persembunyiannya' buat masa ini. Ternyata dia mahu menyendiri dan membiarkan Adi membuat keputusan terbaik pada perbicaraan kes perceraian mereka yang dijadualkan bermula esok.
Berikut petikan perbualan Adi bersama Sensasi Bintang:
Mungkin boleh berkongsi sedikit tentang punca timbulnya isu antara kalian?
Saya tidak mahu membuka aib sesiapa, biarlah saya dan isteri sahaja yang simpan masalah itu. Kalau saya cerita tentang masalah keluarga sendiri, ia seperti membakar pihak di kiri dan kanan.
Sejauh mana benarnya gosip yang mendakwa anda rapat dengan Nora akibat terlalu kerap berlakon bersama?
Ikut hukum akal, soalan itu tidak bernas untuk ditanya. Umum tahu saya berlakon dengan ramai heroin. Kerja tetap kerja dan masalah rumah tangga tetap masalah rumah tangga, itu dua perkara yang berbeza. Saya tidak mahu muncul artikel dalam akhbar bercerita tentang perceraian saya disebabkan orang itu atau orang ini. Kalau pergi mahkamah syariah pun, hakim tidak bertanya tentang gosip. Memang sudah prinsip saya tidak mencampurkan antara kerja dan kehidupan peribadi, kerana bagi saya, kerja juga satu ibadah.
Adakah keputusan dibuat kerana anda dapat petunjuk ketika melakukan umrah baru-baru ini?
Soal petunjuk, biarlah antara saya dengan Allah. Masalah rumah tangga hanya melibatkan saya dan isteri sahaja.
Ada khabar mengatakan anda dan isteri sudah tinggal berasingan?
Itu tidak benar! Walaupun saya telah menghantar permohonan cerai secara hakikatnya kami masih tinggal sebumbung dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri.
Bagaimana emosi anda ketika ini?
Emosi saya masih terkawal kerana kita ada akal fikiran yang mengawal emosi.
~ Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan