Kata Fezrul Khan, majlis resepsi sebelah pihaknya yang dihadiri saudara mara dan sahabat handai berlangsung dalam suasana sederhana di dewan Masjid Imam Al-Ghazali di Bandar Manjalara pada 6 Mei lalu.Tiada istilah merahsiakan hari paling bermakna dalam hidupnya itu daripada pengetahuan media kerana beberapa kenalan di kalangan wartawan turut diundang.
"Bukan niat saya mahu berahsia. Sebetulnya, saya tidak kenal ramai wartawan. Jadi mana yang rapat dengan saya saja yang diundang. Saya menyusun 10 jari memohon maaf andai ada yang terasa hati.
"Upacara akad nikah berlangsung di rumah keluarga Fify (Noorhafizah) di Hulu Langat. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis kedua-dua pihak berjalan lancar.
"Cuma saya sedikit ralat apabila timbul beberapa masalah kecil di dewan Masjid Imam Al-Ghazali, tetapi perkara itu dapat diselesaikan," katanya.
Hanya dengan sekali lafaz, Fezrul dan Fify selamat dinikahkan bapa pengantin perempuan, Zulkafli Khairuddin dengan mas kahwin RM500.
Fezrul juga memberi wang hantaran RM20,000 bersama tujuh hantaran dibalas sembilan oleh pihak perempuan.
Mengulas detik pertemuan awal dengan isteri, pelakon yang popular menerusi drama Jelatang ini mengenalinya menerusi Shaheizy Sam, enam tahun lalu. Fify adalah kawan baik Sam dan bertugas sebagai pramugari Qatar Airways.
Bermula dengan bertanya khabar menerusi telefon, lama kelamaan hadir perasaan sayang lalu terpateri ikatan cinta. Sifat feminin, penyayang dan memahami yang ada dalam diri Fify menjadikan wanita itu sungguh istimewa di hatinya.
"Fify faham kerja saya yang tidak menentu masa dan dia tidak pernah pertikai. Saya rimas dengan orang yang suka persoal kenapa waktu kerja saya hingga lewat pagi, pada hal itu atas kehendak produksi.
"Sebagai pelakon, saya kena ikut jadual penggambaran yang ditetapkan. Pantang saya kalau orang curiga, pada hal saya kerja. Fify bagaimanapun berbeza dan saya sedar bukan senang untuk dapat wanita yang memahami sepertinya.
"Di mata saya, Fify cantik dan manis orangnya. Daripada dulu saya suka wanita berambut panjang dan dia ada ciri itu. Tambah menguatkan keyakinan untuk melamarnya sebagai suri hidup saya apabila dia sangat rapat dengan anak angkat keluarga saya, Cica yang kini berusia dua tahun lebih.
"Daripada situ, saya nampak dia boleh jadi ibu yang baik untuk anak kami nanti," katanya yang mendambakan kehadiran cahaya mata secepat mungkin dan berharap perkahwinan ini dikurniakan ramai zuriat.
Sementara itu Fify memaklumkan, dia tertawan dengan personaliti Fezrul yang ringkas, bersahaja dan sangat mengambil berat perihal keluarga.
Di awal perkenalan, dia tidak mengetahui jejaka yang cuba mendekatinya itu bergiat dalam dunia seni, sebaliknya hanya menyedarinya dua bulan selepas itu.
"Saya jarang ada di Malaysia ketika itu kerana tugas sebagai pramugari. Ketika pulang ke tanah air, saya berjumpa Sam dan kebetulan ketika itu dia ada bersama.
"Jujur, saya memang tak tahu dia pelakon, malah sehingga kini saya tidak pernah melihatnya sebagai artis, sebaliknya lelaki biasa yang menawan hati saya dengan sikapnya yang budiman," kata Fify yang kini bekerja di syarikat bapanya.
Pasangan itu belum memilih destinasi berbulan madu, namun berharap dapat menikmati detik romantik di atas kapal persiaran.
Kebetulan kedua-dua mereka menggemari filem blockbuster Titanic yang disifatkan kisah romantik paling hebat, maka mereka mahu merasai pengalaman menarik yang serupa.
Kata Fezrul, dia dan Fify pernah berkunjung ke banyak destinasi pelancongan menarik. Jadi untuk berbulan madu, mahu cari kelainan dengan belayar. Tambah pula dirinya memang pencinta laut, jadi percutian di atas kapal persiaran adalah pilihan paling dekat dengan jiwanya.
"Bila tarikhnya, kami belum pasti tapi saya akan usahakan tahun ini juga. Bolehlah berangan kononnya kami Jack dan Rose macam dalam cerita Titanic," katanya berseloroh.
Mengenai kerjaya lakonan, artis bernaung di bawah MIG Talent ini berkata, dia akan teruskan rutinnya seperti biasa meskipun sudah berkeluarga.
Tiada syarat atau batasan disuarakan Fify berikutan faham dia keluar untuk mencari rezeki bagi membahagiakan keluarga.
"Syukur, selepas jadi artis MIG, tawaran semakin banyak hingga ada yang terpaksa saya tolak berikutan skrip longgar. Insya-Allah, saya akan kembali bekerja Selasa depan. Ada beberapa tawaran drama yang masih dalam pertimbangan.
"Saya baru habis penggambaran filem Kita arahan Pierre Andre dan pada bulan depan filem lakonan saya, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS) akan menyusul di pawagam seluruh negara," kata pemilik MRG Interprise yang menyediakan khidmat menyewa peralatan penggambaran ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan