Oh My English! rancangan terbitan Astro TViQ hingga kini diikuti lebih 50,000 pengikut di laman sosial Facebook walaupun program berkonsepkan pendidikan dan hiburan itu baru ditayangkan.

Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, sambutan hangat itu menjadi bukti bahawa program berbentuk pendidikan mendapat tempat di hati penonton di negara ini.

"Tujuan program ini diwujudkan adalah bagi memperbaiki pertuturan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia yang kadang-kala terlepas pandang tentang perkara-perkara remeh dalam penggunaan seharian.

"Dengan sambutan yang cukup memberansangkan itu ia bukti penonton dapat menerima program berbentuk pendidikan tapi dalam format yang menyeronokkan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program itu di sini pada Khamis.

Oh My English! ke udara pada setiap hari Ahad pada pukul 10 pagi di Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Prima (105) pada setiap hari Jumaat pukul 9.30 malam bermula 8 Jun nanti.

Tambah Yasmin, selain Facebook, Oh My English! turut ditonton 900,000 orang di laman Youtube dan masih terus meningkat dan menjadi topik hangat yang kerap diperkatakan di laman Twitter.

Dalam pada itu, Yasmin berkata, Oh My English! mengambil pendekatan yang unik dalam pembelajaran Bahasa Inggeris yang mana setiap episod sitkom selama setengah jam itu mempunyai tema perbualan yang boleh diguna pakai di dalam kehidupan seharian seperti perhubungan, sukan, muzik dan makanan.

Tambahnya, episod-episod tersebut juga mengandungi tiga kapsul pendek yang menerangkan penggunaan Bahasa Inggeris dengan betul sama ada dari segi tatabahasa, perbendaharaan kata, struktur ayat mahupun sebutan.

"Sebagai tambahan, Astro juga telah bekerjasama dengan British Council dalam pembangunan kandungan pembelajaran Bahasa Inggeris, termasuk bahan-bahan dan kertas latih tubi lengkap, yang boleh didapati di laman rasmi Oh My English!

"Program itu juga akan dilengkapi pengalaman pembelajaran multimedia melalui internet, butang merah interaktif pada alat kawalan Astro, laman sosial, radio, siri bengkel di sekolah dan dalam bentuk cetakan," ujarnya.

Sementara itu, Yasmin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam merealisasikan program tersebut yang menggalakkan pembelajaran berterusan sepanjang hayat di kalangan masyarakat.

Yasmin berkata, kerjasama ini juga sebagai penanda aras bahawa Astro sentiasa menyokong usaha KPM yang ingin memberi informasi berguna kepada masyarakat.

Rancangan 20 episod itu menampilkan barisan pelakon yang berpengalaman dan baru antaranya pelakon dan penyanyi terkenal Adibah Noor yang membawa watak sebagai pengetua.

Tidak ketinggalan pelakon-pelakon komedi dan peserta Raja Lawak Mega Mr. Os dan Harun Salim Bachik. Zain Saidin pula membawa watak Henry Middleton, guru Bahasa Inggeris baru yang merupakan rakyat Malaysia yang dibesarkan di Britain.

Di samping itu, Oh My English! turut menonjolkan bintang–bintang muda berbakat seperti Izara Aishah, Addy Ashraf dan pasangan adik beradik Ahmad Ezzrin Loy dan Nurul Ezlisa Loy.

Antara pelakon-pelakon lain termasuklah Mohd Zhafir Muzani, Kaameshaa Ravindran, Amer Sharrif, Tan Teong Sik dan Muhammad Akhmal Mohamad Nazri.


Oh My English!

Tidak ketinggalan juga artis-artis tersohor tanahair seperti Lisa Surihani, Rozita Che Wan dan Nabil Raja Lawak yang akan membuat penampilan istimewa serta memeriahkan lagi episod-episod tertentu.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Oh My English! peminat boleh melayari www.ohmyenglish.com.my untuk mempelajari Bahasa Inggeris menerusi permainan-permainan interaktif dan kandungan-kandungan lain.

Video-video terkini program itu juga boleh dilayari di www.youtube.com/ohmyenglishtv. Sebagai alternatif, penonton juga boleh mengikuti laman Oh My English di laman sosial facebook di www.facebook.com/ohmyenglish untuk berkongsi pengalaman masing-masing tentang cara-cara memperbaiki penggunaan Bahasa Inggeris. ~ mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top