2 tahun menyepi dalam industri muzik membuatkan Ebi Kornelis atau Ebi, penyanyi yang digilap bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim kelima, mengakui terlalu rindukan zaman yang pernah dilalui satu ketika dulu. Justeru, dia menganggap kehadiran semula dalam program Mania sebagai peluang kedua untuknya bertapak kembali dalam dunia seni.

"Saya seorang yang percaya kepada peluang kedua dan kini sudah terbukti peluang itu memang wujud. Kehadiran saya dalam Mania memberikan semangat baru kepada saya untuk kembali bertapak sebagai anak seni.

gambar Ebi Kornelis

"Ini satu-satunya peluang untuk saya kembali menjadi penyanyi. Hidup dan mati saya kini terletak kepada Mania, satu-satunya harapan saya untuk dikenali semula sebagai penyanyi," katanya.

Malah, Ebi mengakui perasaan cemburu membuak-buak setiap kali melihat rakan seperjuangan lain berpeluang muncul di kaca televisyen. Dalam benaknya selalu terfikir, jika diberikan peluang sama, dia juga boleh melakukan yang terbaik.

"Semua artis mahukan publisiti. Mungkin saya tidak muncul di kaca televisyen mahupun surat khabar, tetapi saya amat aktif di Sabah. Banyak aktiviti seni saya lakukan sepanjang `menyepi' seketika daripada media.

"Mungkin juga, ramai wartawan yang tidak dapat menghubungi saya kerana saya menukar nombor telefon. Kali ini suasana berbeza. Kini, saya melihat kematangan saya sebagai penyanyi akan menarik lebih ramai peminat," katanya.

Berkali-kali mengatakan program Mania amat penting untuknya kembali bergelar penyanyi, Ebi tidak mahu gagal dalam menarik perhatian pengundi, untuk terus menyokong dirinya yang sentiasa berada pada tangga teratas carta.

"Saya bersyukur kerana masih diingati peminat. Mungkin kerana saya aktif di Sabah, peminat di sana tidak pernah putus-putus menyokong kerjaya saya, termasuk program Mania yang saya harungi kini. Saya dapat rasakan, peminat yang mengundi saya ketika di AF dulu kini mengundi saya dalam Mania pula," katanya ketika ditemui sewaktu menjalani latihan di Luncai Emas, Sungai Buloh, kelmarin. Ditanya, jika dia menjuarai Mania, bagaimana pula dengan syarikat produksi miliknya, Empayar Bayu (M) Sdn Bhd yang sudah dua tahun bertapak di Kota Kinabalu, Ebi berkata, dia akan meneruskan perjuangan syarikat itu selagi terdaya.

"Saya sayangkan syarikat itu. Jika ada tuah dalam Mania sekalipun, saya akan teruskan usaha menaikkan nama syarikat ini. Lagi pun, ia ada kena-mengena dengan kerjaya sebagai anak seni kerana syarikat milik saya itu juga menghasilkan bahan kreatif," katanya.

Menurut Ebi, setakat ini, syarikatnya sudah menerbitkan DVD berjudul Aboy yang mengisahkan kasih sayang terhadap Sabah, hasil tulisannya sendiri, dan mendapat tempat di hati masyarakat di sana.

"Aboy saya lahirkan pada tahun lalu dan menampilkan pelakon Alex Raja Lawak. Ia menegur sikap masyarakat supaya tidak dengan mudah menjual tanah mereka. Ia sebuah produk yang cukup istimewa di hati rakyat Sabah.

"Dari dulu saya memang minat menulis, hasil bimbingan pengarah Kamal Ishak iaitu sifu dalam penghasilan skrip saya selama ini. Walaupun menjadi penyanyi, saya masih mahu berkarya dalam bidang penulisan," katanya.

Walaupun mengakui aktiviti semakin perlahan, Ebi berkata, ada beberapa produksi di semenanjung yang ingin bekerjasama dengan syarikatnya.

"Syarikat saya banyak membantu produksi tempatan yang mahu mencari lokasi menarik, yang diperlukan untuk penggambaran dan ia sebenarnya membantu dalam memperkenalkan syarikat saya kepada orang luar," katanya.

Ebi Kornelis masih bersahabat dengan Mila

Selain menjadi pelakon Gerimis Mengundang, Ebi juga muncul sebagai pelakon utama filem berjudul Left Wings, arahan Faisal Chal bersama Nasir Jani, yang akan ditayangkan pada Ogos ini. Filem itu menjalani penggambaran pada Ramadan tahun lalu.

Ia turut dibintangi Awie, Wings, Nasha Aziz, Ito Blues dan Faizal Hussein.

Dalam filem terbabit, Ebi memegang watak sebagai Anton, anak muda yang menjadi pelapis kepada kumpulan Wings yang disanjunginya.

"Saya juga menjadi penyanyi lagu tema filem ini, berjudul Kiri atau Kanan. Boleh dikatakan, pembabitan saya untuk filem ini amat besar sekali sepanjang kerjaya seni saya selama ini. Berlakon bukan perkara mudah, tetapi ia pengalaman sungguh menyeronokkan dan saya harapkan lakonan saya nanti dapat diterima peminat," katanya.

Bercerita mengenai muzik, anak muda ini juga menghasilkan single berjudul Aku Sujud yang berkonsepkan pop Islamik. Namun, dia bimbang jika lagu seperti itu tidak sesuai dimainkan di radio.

"Saya menulis sendiri lirik itu, tetapi sampai hari ini saya tidak keluarkan sebab bimbang lagu berirama seperti itu tidak sesuai dengan selera pendengar atau kehendak stesen radio. Jadi, saya masih menimbangkan untuk mengeluarkannya atau tidak," katanya.

Sementara itu, bercerita soal jodoh, Ebi berkata, dia mahu lebih berhati-hati dalam soal cinta.

"Keluarga juga sudah bertanya soal jodoh. Selepas Mila, saya mengakui ada berkenalan dengan seorang gadis, tetapi hubungan itu tidak dapat bertahan. Umur saya juga sudah 28 tahun dan sudah sepatutnya berkahwin, tetapi apabila menyertai Mania, perasaan ingin berkahwin itu hilang kerana program ini lebih utama buat saya ketika ini.

"Bukan serik bercinta, tetapi saya mahu kemunculan saya kali ini dengan imej yang bersih. Saya juga masih berhubung dengan Mila dan kami masih berkawan baik.

"Tidak mungkin dia akan kembali kepada saya kerana sebagai manusia, saya dapat rasakan Mila tentunya sudah ada seseorang dan saya sendiri dapat mengagak, tiada jodoh antara kami. Jadi, lebih baik kami berkawan biasa saja," katanya. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top