Bagaimanapun, apa akan terjadi apabila kelibat Ismail dilihat mengunjungi kediaman selebriti dan berbicara soal dekorasi rumah mereka? Mungkin kedengaran agak janggal bagi penonton setia rancangan masakan Ismail, namun itulah tugas terbarunya dalam program Siapa di Rumah terbitan Astro.
Bakal bersiaran menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 7.30 malam ber mula 20 Mei ini, Siapa di Rumah menampilkan sisi berbeza Ismail sebagai hos. Melihat kerancakan Ismail berbicara mengenai tugasnya sebagai hos Siapa di Rumah, teringat pula akan rutinnya sebagai seorang chef.
Sudah berkecimpung dalam bidang masakan lebih daripada 30 tahun, mana mungkin bagi Ismail meninggalkan tugas yang sudah sebati dengan dirinya itu.
Mengakui masih aktif menerima undangan memasak di merata-rata tempat termasuk di luar negara, aktivitinya itu telah banyak mematangkan Ismail dalam menggalas tanggungjawab sebagai chef selebriti.
Tidak terbatas dengan bertemu masyarakat di demonstrasi dan kelas masakan, Ismail juga kini telah mengorak selangkah lagi sebagai motivator. Jelas Ismail, segala-galanya bermula atas dasar mahu menggunakan dan berkongsi segala pengalamannya untuk dijadikan motivasi kepada orang lain, tentunya berkaitan industri makanan dan masakan.
“Amat menyedihkan apabila ramai di antara kita yang mempunyai dapur yang cantik tetapi mereka tidak memasak. Alasannya ialah tidak berbaloi memasak kerana bilangan ahli rumah yang sedikit, lebih baik beli di luar. Maka, saya cuba memotivasikan mereka untuk kembali semula ke dapur yang telah lama ditinggalkan,” katanya.
Dalam sesi motivasinya itu, kata Ismail, dia menggunakan pelbagai teknik untuk mencambahkan kembali minat memasak dalam kalangan masyarakat, terutamanya wanita.
Di samping itu, melihatkan peranan besarnya sebagai chef selebriti, jauh di sudut hati Ismail dia mahu agar masyarakat lebih mengambil berat mengenai makanan yang diambil mereka.
“Masyarakat kita tidak kisah sangat mengenai makanan, bagi mereka asal sedap mereka akan makan. Sedangkan mereka langsung tidak mengetahui kandungan makanan itu terutamanya yang dibeli di luar sama ada ia baik untuk kesihatan atau tidak.
“Sikap sebeginilah yang perlu diubah kerana makanan akan menjadi darah daging kita, maka amat penting untuk kita menitik beratkan soal makanan,” katanya yang juga duta produk makanan, MyChef.
Tidak dinafikan, bidang masakan mula menjadi perhatian anak-anak muda yang ingin menceburinya secara serius. Malah, di universiti atau kolej juga sudah banyak yang menawarkan kursus pengajian pengkhususan dalam bidang masakan.
Apatah lagi, pekerjaan sebagai tukang masak atau chef mampu menjana pendapatan tinggi jika betul-betul berusaha. Sebagai chef senior dan berpengalaman luas, Ismail gembira melihat perkembangan ini yang menunjukkan bidang masakan sudah berada dalam kelas tersendiri.
Malah, Ismail sendiri melahirkan kekagumannya terhadap kelahiran chef selebriti muda yang dianggapnya sebagai pelapis dan akan menggantikan dirinya dan chef terkenal lain. Salah seorang yang berjaya ‘mencuri’ hati Ismail ialah juara musim pertama Master Chef Malaysia, Dr Ezani Farhana Md Monoto.
Pengalaman Ismail sendiri yang terlibat dalam program Master Chef telah membuka matanya akan kebolehan gadis tersebut.
“Bagi saya, Ezani telah menunjukkan prestasi yang sungguh cemerlang dalam program itu dan dia berpotensi untuk pergi jauh.
“Cuma pesanan saya kepadanya ialah kekalkan sikap merendah diri, jadi lebih kreatif dan timbalah ilmu sebanyak mungkin daripada chef-chef yang berpengalaman,” katanya ikhlas.
Bukan bakat Ezani saja yang dikaguminya, Ismail juga tertarik dengan cara penyampaian hos program 5 Rencah 5 Rasa, Sherson Lian.
“Dia seorang yang sangat kreatif dan pandai menarik perhatian penonton dengan gayanya yang begitu bersahaja.
“Lebih mengagumkan, Sherson mampu memasak sesebuah resipi menggunakan caranya sendiri yang sangat berbeza dengan cara asal, namun hasilnya sungguh lazat,” ulasnya mengenai Sherson yang turut menjadi tetamunya dalam Siapa di Rumah.
0 ulasan:
Catat Ulasan