Rita Rudaini Mokhtar menyifatkan tuntutan nusyuz (perintah kembali taat) yang dituntut suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Rabu sebagai kelakar dan macam “budak-budak”

Rita,36, berkata, dia geli hati mendengar tuntutan itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal kerana selama ini dia tidak pernah melanggar perintah suami ataupun membelakangkannya.

“Dia tuntut saya supaya kembali taat? Haa... memang betul-betul kelakar. Saya tergelak dengar tuntutan dia. Selama ini siapa yang tidak taat? Saya menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik untuk dia dan anak-anak.

“Saya juga tidak pernah lari atau keluar dari rumah tetapi dia yang buat (keluar rumah) senyap-senyap dan tinggalkan saya dengan dua orang anak bersendirian,” katanya kepada mStar Online di luar mahkamah di sini, Rabu.

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Aidil Zafuan,25, menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya itu atas alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.

Aidil juga dalam tuntutan nusyuz itu mahu Rita dan anak-anak berpindah dari kediaman mereka sekarang di Damansara ke rumah yang baru didiami Aidil di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.

Beliau yang juga pemain bola sepak pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga memberitahu rumah berkenaan didiaminya secara percuma tajaan ATM dan Rita perlu berpindah untuk mengelak pembaziran kerana perlu membayar sewa rumah teres mewah yang didiami sebelum ini.

Rita Rudaini bertudung

Aidil memberitahu jika Rita gagal mematuhi permintaannya itu (untuk berpindah), dia boleh dikenakan tindakan dalam tuntutan tersebut. Rita memberitahu, tidak ada sebab untuk dia berpindah kerana mereka pernah berkongsi suka dan duka di rumah yang didiami sekarang ini dan sudah tinggal sejak empat tahun lalu.

“Buat apa saya nak pindah? Sudah empat tahun kami tinggal bersama di Damansara. Kenapa dia tak balik rumah dan tinggal bersama saya serta anak-anak kalau dia suami yang bertanggungjawab?

"Sewa rumah sebanyak RM3,000 sebulan itu kami kongsi untuk bayar sama-sama. Bayangkan, bayaran yang separuh dia keluarkan itu pun dipertikaikan, apatah lagi nafkah anak-anak?" soal Rita.

~ Mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top