Shuib dan Jepp yang bergabung sebagai Sepahtu, jarang dilihat berdua di kaca televisyen untuk digandingkan dan berlakon bersama.

Shuib dan Jepp dilihat lebih banyak bergerak secara sendirian (solo) dlm rancangan komedi,drama atau filem yang dilakonkan.

Shuib yang mengaku keadaaan itu bagaimanapun menafikan bahawa Sepahtu sudah tidak wujud lagi, sebaliknya bakal muncul dengan album Sepahtu tidak lama lagi.

"Sebenarnya kami bebas untuk memilih hala tuju masing-masing dalam Sepahtu. Kami tidak mahu terlalu terikat sebagai Sepahtu yang menuntut kami bersama-sama, di mana-mana dan apa juga situasi.

Sepahtu

"Memang saya akui, telah menerima banyak tawaran berlakon secara solo dan saya tidak menolaknya.

"Bagi saya, tidak semestinya setiap produksi itu mahukan watak Sepahtu sahaja, malah mereka menawarkan watak yang berbeza-beza.

"Malah, pada awalnya lagi penubuhan Sepahtu ini adalah untuk menghasilkan sebuah album studio yang menggandingkan saya dan Jepp.

"Cuma, album itu masih lagi dalam proses untuk disiapkan ," katanya.

Selain filem Man Sewel Datang KL yang dijangka akan berada di pawagam pada 31 Mei ini, Shuib bakal muncul secara solo juga dalam filem Amir dan Loqman Pergi Kelaut dan Mail Lambung serta game show, Betol ke Bohong di Astro.

Mengulas lebih lanjut mengenai filem Man Sewel Datang KL, Shuib berkata dia sangat berbangga kerana diberi kepercayaan oleh Work Move Production Sdn Bhd untuk memegang watak utama bagi filem tersebut.

"Saya menerima tawaran untuk berlakon filem ini selepas Sepah juara dalam Maharaja Lawak musim pertama yang lalu.

"Namun saya akui, agak sukar untuk membawa watak sewel kerana definisinya juga kurang jelas dan saya takut orang nampak saya seperti orang tidak siuman pula.

"Walaubagaimanapun, setelah melihat keseluruhan filem ini, saya yakin ia tidak akan menjadi begitu kerana saya lebih kepada berperwatakan lurus bendul ," jelasnya lagi.

Menariknya, Shuib telah digandingkan dengan isterinya, Siti Sarah Raisuddin dalam filem yang diarahkan oleh pengarah lama, Abdul Rahman Adam.

Selain Shuib dan Siti Sarah, filem komedi tersebut turut dibintangi oleh Julia Zigler, Razali Hussein, Rafidah Ibrahim dan ramai lagi.

Man Sewel Datang KL secara ringkas mengisahkan mengenai seorang lelaki kampung iaitu Man (Shuib) yang berperangai gila-gila atau lebih tepat dengan gelaran 'sewel' menyampaikan keterujaannya apabila pertama kali sampai ke Kuala Lumpur.

Pelbagai konflik dan insiden yang berlaku kepada Shuib sehingga melahirkan pelbagai elemen komedi di dalamnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top