Program Masterchef Selebriti

Seramai 16 selebriti dari pelbagai bidang menyertai cabaran Program Masterchef Selebriti ini dengan tujuan mengumpul dana untuk badan kebajikan yang mereka miliki. Salah seorang artis yang terbabit dalam ialah penyanyi terkenal, Siti Sarah Raisudin.

Siti Sarah tentunya berhadapan cabaran kerana mempunyai anak kecil selain kesibukan kerjaya seninya selepas kembali dari berpantang melahirkan anak sulung, Uwais Alqarni. Begitu juga statusnya sebagai isteri Shahmira Muhahamad (Shuib).

Namun semua itu bukan alasan untuknya melepaskan peluang beraksi menunjukkan kepakaran dalam bidang masakan kerana ingin menimba pengalaman baru.

"Saya sangat seronok menyertai program ini kerana ia memberi pengalaman baru buat saya. Malah ia mencabar kekuatan emosi dan fizikal kerana beraksi di dapur tidak sama dengan berada di pentas. Ia menguji daya kreatif untuk menghasilkan makanan yang lazat dengan menggunakan bahan-bahan yang ada.

"Selalu saya ingatkan bahawa saya bukan bersaing dengan peserta lain tetapi dengan diri sendiri kerana setiap orang berbeza dan mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.

Walaupun bersaing dengan Juliza dan Serina, Sarah berasa sangat seronok kerana mereka saling bertukar resipi dan tips memasak. Selain sibuk dengan Masterchef Selebriti, Sarah juga sibuk mempromosikan lagu duet bersama Shuib, Cinta Itu Nyawa, lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad. Dia juga dalam proses merakamkan single barunya sebagai salah satu langkah untuk membuat 'come back' setelah agak lama sepi.

Tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, Sarah bersyukur kerana semua yang berada di sekelilingnya memberikan sokongan menyebabkan semua perkara yang dirancang berjalan seperti biasa.

"Alhamdulillah, saya bersyukur ditempatkan dalam kalangan mereka yang memahami kerjaya dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

"Apatah lagi pada ketika ini Uwais masih kecil dan memerlukan perhatian lebih. Adakalanya apabila saya harus balik ke rumah lebih awal, mereka sangat memahami," katanya yang mewakili Malaysian Association For The Blind.

Tidak mempunyai persediaan yang tertentu bagi menyahut cabaran ini, Sarah agak selesa kerana keluarganya suka mencuba resipi baru. Boleh dikatakan perkara itu membantunya meneruskan persaingan.

Sarah berharap, dia mendapat banyak pengetahuan baru yang boleh digunakan apatah lagi suaminya kuat makan. Sarah masih percaya, masakan isteri adalah salah satu cara untuk menambat hati suami.

Program Masterchef Selebriti yang julung kali diterbitkan ini, adalah rancangan berunsurkan hiburan dan menyerlahkan sikap prihatin di kalangan selebriti tanah air yang sudi menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban badan kebajikan.

Disiarkan sebanyak 28 episod, MasterChef Selebriti mula bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) mulai 26 Mei (semalam) hingga Selasa, jam 9 malam.

Siapakah antara 16 selebriti ini menjadi mangsa pertama meninggalkan dapur Masterchef, sama-sama kita tonton jam 9 malam ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top