Astro Raikan Kegemilangan Sudirman Hj Arshad

Astro amat berbesar hati melancarkan kempen Aku Sudirman yang diadakan khas bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali individu yang mendapat jolokkan Penghibur Milik Masyarakat dan Seniman Rakyat ini.

Kempen Aku Sudirman, telah menerima sokongan daripada SINAR FM sebagai radio rasmi yang disokong oleh ERA FM, rakan media akhbar Bahasa Melayu; Harian Metro dan The Star bagi rakan media akhbar Bahasa Inggeris.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh, "Di Astro, kami memegang tanggungjawab yang besar dalam menghiburkan para penonton dengan kandungan-kandungan hiburan yang bermutu dan berkualiti. Dalam masa yang sama, kami juga berasa terpanggil untuk menjadi jambatan bagi menyuntik semangat lagenda-lagenda yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa di jiwa dan sanubari anak-anak muda zaman sekarang.

Biografi lagenda seperti Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad ternyata telah menarik perhatian kami. Beliau mempunyai persona dan daya tarikan tersendiri dan sering menampilkan keunikkan pada setiap persembahan pentas dari segi pemakaian mahupun jenis-jenis lagu yang dinyanyikan sehingga mencuri hati setiap golongan masyarakat. Selain fasih dalam pelbagai bahasa, Allahyarham juga merupakan seorang yang bijak dn sering berkongsi idea bagi menghasilkan yang terbaik dan mempunyai semangat yang kental.

Semangat yang dimiliki oleh Allahyarham inilah yang cuba diterapkan dalam minda dan sanubari anak-anak muda di samping mengembalikan memori zaman kegemilangannya melalui kempen yang diadakan ini."

Bagi menjayakan kempen Aku Sudirman, pihak Astro telah menyusun pelbagai aktiviti seperti program TV, konsert, penayangan filem, album muzik, video klip, peraduan dan banyak lagi yang dijangka meliputi segala jentera promosi.

Antaranya ialah dengan pelancaran filem Hoore! Hoore! arahan pengarah terkenal Saw Teong Hin yang akan mula ditayangkan 24 Mei ini. Filem muzikal yang menampilkan pelakon-pelakon mantap baru dan lama seperti Akim, Kilafairy, Nurfarah Nazirah, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Aznil Hj Nawawi dan ramai lagi ini menggunakan rangkaian lagu-lagu popular Allahyarham yang diberikan sentuhan semula oleh komposer Audi Mok.

Sinar FM juga telah merangka pelbagai bentuk promosi bagi menghangatkan lagi kempen ini dengan sementara menukar mereka kepada Sudirman FM selama 24 jam pada 3 Jun 2012 dan memainkan lagu-lagu popular dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad. Era FM juga tidak akan ketinggalan untuk memainkan lagu-lagu asal Sudirman dan lagu-lagu gubahan baru oleh artis generasi sekarang di sepanjang kempen secara kerap.

Di platform TV, Astro melalui saluran Astro RIA, Astro PRIMA, Astro Awani dan Hitz TV akan berselang-seli menayangkan program-program yang berkaitan yang akan mengembalikan memori kita terhadap Allahyarham seperti Di Sebalik Pembikinan Filem HOORE! HOORE!, Trek Selebriti Sudirman, Cerita Artis Malaysia (Noorkumalasari), Konsert Hoore Hoore Aznil, filem KAMI, Out and About, Dokumentari Sudirman Arshad, Dokumentari Menggapai Dunia, Kini Trending, muzik video dan banyak lagi di sepanjang kempen berlangsung.

Kemuncak kempen ini juga menjemput orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama menyaksikan sebuah konsert yang akan diadakan bagi tujuan untuk mengembalikan nostalgia konsert oleh Allahyarham Sudirman. Konsert yang dinamakan Konsert Kenangan Sudirman ini akan diadakan secara percuma dan terbuka pada orang ramai pada 3 Jun 2012, hari Ahad di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur. Ramai penyanyi tanahair yang dijangka akan terlibat di dalam konsert ini. Di antara nama-nama besar itu ialah Dato Siti Nurhaliza, AC Mizal, Jaclyn Victor, Ziana Zain, Misha Omar, Hafiz, Adira, Azlan and The Typewriter, Hujan, Hazama, Alyah, Rahim Maarof, Osbon serta pelakon-pelakon dari filem HOORE! HOORE!

Bagi melengkapkan lagi kempen Aku Sudirman ini, pihak Astro telah bekerjasama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia untuk menerbitkan sebuah album interpretasi lagu-lagu Sudirman oleh artis-artis generasi muda seperti AwanBand, The Kebayas (Suki, Adira, Shamini), XPDC Junior, Hujan, Altimet & DJ Fuzz dan Taxi. Album yang diberi nama Aku Sudirman - Suatu Interpretasi ini dijangka akan berada di pasaran pada penghujung bulan Mei 2012.

Selain dari acara-acara hiburan, pihak Astro juga akan mengadakan Majlis Tahlil dan Qiamullail bagi memperingati insan-insan seni yang telah meninggal dunia anjuran Astro Oasis pada 25 Mei 2012 (Jumaat - Sabtu) bermula pada jam 7.00 malam bertempat di Masjid Asy-Syakirin. Majlis yang terbuka pada umat Islam ini akan turut disertai oleh barisan Imam Muda dari Astro.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top