Terdapat nada kecewa yang kedengaran saat pengarah ini bercerita mengenai filem terbarunya yang bakal ditayangkan di pawagam mulai esok, berjudul Nongkrong. Bukan kecewa kerana tidak mendapat sambutan, sebaliknya perasaan itu timbul selepas sembilan babak dalam filem ini menjadi mangsa guntingan Lembaga Penapisan Filem (LPF)

Lebih membuatkan sutradara Ismail Bob Hashim terkilan adalah filem itu juga diklasifikasikan sebagai 18, berbanding 13 untuk Ngangkung, sekali gus mengehadkan golongan penonton yang mahu menyaksikan filem ini.

Bukan mahu mempertikaikan keputusan yang dibuat, cuma menurut pengarah yang pernah menghasilkan filem Adnan Sempit 2 dan Alamak Toyol ini, alasan yang diberikan LPF sedikit mengelirukan.

"Jika isu nombor ekor yang menjadi punca, sebelum ini pun saya pernah mengutarakan tema sama dalam filem Ngangkung, tetapi ia tidak menjadi isu. Pihak LPF memotong sembilan babak dalam filem ini dan di antara babak dipotong itu, menurut mereka, membabitkan dialog yang dianggap keterlaluan. Pada saya perkataan seperti `lemah syahwat' itu tidaklah lucah mana pun," kata Ismail ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di MBO Subang Parade, Subang Jaya, malam kelmarin.

Hadir sama, pelakon filem itu, Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Epy Raja Lawak, Mon Ryanti, Liana Rafiai dan Fyza Kader.

Apabila sembilan babak dipotong, pastinya sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan cerita. Justeru, apakah tindakan Ismail untuk menyelamatkan filem terbabit daripada berlakunya masalah kecacatan dari segi jalan ceritanya? "Diakui apabila beberapa babak penting dipotong, ia sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan cerita Nongkrong. Tapi mujurlah ia diselamatkan teknik penyuntingan," ujarnya.

Ditanya tidakkah pihaknya merayu untuk menyelamatkan babak dipotong itu, Ismail berkata, dia terpaksa akur dengan keputusan terbabit.

Buat julung kalinya, filem ini menampilkan pelakon baru seperti Epy memegang watak utama. Sebelum ini, pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak ini diberikan watak sambilan saja. Lalu, apabila kali pertama ditawarkan memegang watak utama dan digandingkan pula bersama pelakon hebat seperti Sam dan Angah, pastinya situasi itu membuatkan Epy berasa rendah diri.

"Pada awalnya sukar juga saya untuk menyesuaikan keadaan. Maklum sajalah dalam filem ini ada Sam dan Angah. Kebetulan saya memang meminati lakonan Sam, jadi apabila diberi peluang berlakon bersama, pastinya saya rasa bimbang dan terasa kecil sekali. Namun, sikap mereka yang mudah mesra dan tidak lokek ilmu itu membuatkan saya selesa," katanya.

Bagi Mon Ryanti, inilah filem ketiga yang menyaksikan dirinya berlakon dalam filem seram, selepas Keramat dan Hantu Dalam Botol Kicap. Bagaimanapun, pelakon tinggi lampai ini tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon filem hantu.

"Saya ada juga berlakon filem bergenre selain daripada seram, seperti Salam Cinta dan Bro! Mana Motor Gua? Kalau diikutkan, saya lebih suka filem bercorak aksi," katanya.

Mengulas cabaran terpaksa dilalui sepanjang membintangi filem ini, Mon yang memegang watak sebagai Puteri Bunian berkata, teknik solekan getah membuatkan wajahnya hampir rosak.

"Mujurlah pihak produksi membawa saya menjalani rawatan. Selepas itu barulah wajah saya pulih seperti sedia kala," katanya.

Nongkrong mengisahkan tiga pemuda, Aman, Bada dan Cumi, yang cuba mencari kekayaan segera dengan jalan salah iaitu meminta nombor ekor. Akibat mengamalkan perbuatan syirik untuk mendapatkan wang dengan mudah, akhirnya mereka diburu hantu yang dipuja.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top