Program TV AlHijrah Ramadan 2012

* Kasih Ramadan

* Ayat Riwayat

* Ihya Ramadan

* Reflection

* Madrasah Ramadan

Sempena Ramadan 1433, TV AlHijrah bertema Ramadan Satu Perjuangan. Ramadan satu perjuangan tidak datang hanya sebagai slogan. TV AlHijrah menyusun strategi yang komprehensif untuk menyajikan program terbaik yang mampu memperkayakan minda dan hati nurani penonton supaya ibadah Ramadan dapat disemarakkan melalui sumbangan kandungan penyiaran.

Bermula Syaaban ini, TV AlHijrah akan berkempen untuk mempersiapkan penonton bersama melangkah merentasi Syaaban serta meraikan kedatangan Ramadan dengan kualiti minda dan hati yang benar-benar komited melaksanakan rukun Islam ketiga ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan bulan umatku."

Seperti tahun lalu, TV AlHijrah sedang sibuk menyiapkan identiti siaran baru sempena sambutan Ramadan, melengkapi matlamat supaya setiap yang terpampang di kaca televisyen TV AlHijrah selari konsep Ramadan Satu Perjuangan.

Bagi menzahirkan konsep ini juga, pelbagai program khas turut disediakan mengikut tema, merentasi pelbagai kandungan termasuk drama, majalah, hiburan dan aktiviti program khidmat masyarakat (CSR).

Program Kasih Ramadan yang mula diperkenalkan Ramadan lalu, diteruskan lagi dan kali ini TV AlHijrah tidak bersendirian kerana agenda kemasyarakatan melalui program televisyen turut menerima sokongan pelbagai sektor korporat.

Sesuai dengan semangat kasih Ramadan yang menekankan kepada usaha membantu golongan kurang bernasib baik untuk turut menikmati keindahan Ramadan dan Aidilfitri, hos program dan penyampai serta kakitangan TV AlHijrah akan turun padang mempromosi budaya silaturahim sebagai antara teras menghidupkan Ramadan Satu Perjuangan.

Program Ayat Riwayat pula akan membawa penonton menjelajah benua Afrika di bumi Etopia, Mesir, Syria dan beberapa negara lagi untuk menjejak kisah Nabi Musa dan perjalanan serta peristiwa disebut dalam al-Quran.

Fokus utama Ayat Riwayat yang akan bersiaran sebanyak 29 episod sepanjang Ramadan adalah pembuktian mengenai Ramses II sebagai firaun yang disebut dalam al-Quran pada zaman Nabi Musa.

Program yang menjalani penggambaran selama lebih empat bulan ini akan menjadi wadah kepada penonton TV AlHijrah untuk melihat realiti semasa, tinggalan sejarah dan kaitannya dengan surah al-Quran.

Lebih istimewa, program Ihya Ramadan membawa tamu istimewa seorang ulama terbilang nusantara, Syeikh Mohammad Nuruddin Marbu Al Banjari sebagai pemangkin kepada penonton untuk mendapat pelbagai pendedahan ilmu berkaitan Ramadan.

Selain bersiaran langsung, Ihya Ramadan akan turut memberi ruang kepada penonton berinteraksi dengan Syeikh Nuruddin sama ada melalui telefon, skype, e-mel dan facebook.

Syeikh Nuruddin tidak bersendirian dalam perjuangan meningkatkan kesedaran ilmu dalam bulan Ramadan kerana selain Ihya Ramadan, Imam Suhaib Webb akan turut muncul dalam Reflection khas yang semuanya dengan tema Ramadan Satu Perjuangan.

Selain itu, kandungan program Madrasah Ramadan turut muncul dalam pengkhususan kepelbagaian ilmu berkaitan amal dan ibadah Ramadan.

Ini menjadikan kitaran siaran TV AlHijrah sepanjang Ramadan bakal mewarnai dengan majlis ilmu serta program hiburan yang terarah kepada pendidikan dan kesedaran mengenai Ramadan melalui pelbagai wajah tokoh agama serta warna warni program hiburan bermakna.

Bagi penonton yang ingin turut serta dalam usaha TV Al Hijrah untuk menjadikan program Ramadan Satu Perjuangan sila ikuti perkembangan kami kerana anda berpeluang menjadi sebahagian daripada usaha ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top