Pelakon Zarinatasha Jamalullail menafikan dakwaan suaminya telah membayar sejumlah wang kepada penerbit filem tersebut untuk memotong beberapa babak romantik, terutamanya melibatkan dirinya dan aktor Pekin Ibrahim.

Zarina memberitahu pemotongan beberapa babak merupakan permintaannya sendiri, memandangkan penampilannya yang kini bertudung. Malah, ia sudah dipersetujui Pierre Andre selaku pengarah dan pihak penerbit iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, pelakon itu juga mengakui agak risau mengenai tanggapan segelintir penonton terhadap kemunculannya dalam filem berkenaan, terutamanya tentang penampilan dan imejnya.

"Saya tidak mahu kemunculan saya dalam filem ini akan dijadikan isu oleh mana-mana pihak. Penggambaran filem ini dilakukan pada bulan Mac 2011, sedangkan saya mengambil keputusan untuk mengubah imej pada akhir tahun lalu.

"Memang saya mengaku ada timbul sedikit perasaan segan sewaktu menontonnya. Namun, segalanya sudah berlalu dan saya sendiri sebenarnya tidak jangka untuk berubah dalam tempoh yang begitu cepat," ujarnya yang kini sudah mendirikan rumah tangga.

Zarinatasha Jamalullail

Seiring dengan perubahan imej yang dilakukannya, Zarina menjelaskan bahawa berkemungkinan besar filem Aku, Kau Dan Dia akan menjadi filem terakhir lakonannya setelah membuat keputusan untuk tidak mahu berlakon.

"Sehingga kini saya tidak pernah berlakon dalam mana-mana filem atau drama selepas filem ini. Setelah mendirikan rumah pada bulan Disember 2011, saya hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

"Lagipun suami tidak terlalu menyokong untuk saya meneruskan karier sebagai pelakon, tetapi akan mempertimbangkan sekiranya ada watak yang sesuai dengan imej saya sekarang. Kalau boleh saya begitu berminat mahu menceburi bidang pengacaraan pula," ujarnya.

Filem yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 Jun lalu mengisahkan tentang gadis bernama Mia yang kehilangan tunangnya, Ilhan (Pekin) setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bagi mengubat kerinduan setelah kehilangan tunang tersayang, Mia mencipta sebuah lagu yang didedikasikan kepada Ilhan. Namun begitu, Mia pula terlibat dalam kemalangan jalan raya dan koma selama dua minggu.

Selain menampilkan Zarina, Pekin dan Remy Ishak, filem berkenaan juga dibintangi beberapa orang pelakon lain seperti Harun Salim Bachik, Marisa Yasmin dan Nash.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top