Tiket-tiket boleh didapati pada harga berikut: Premium: RM358, A Reserve: RM258, B Reserve: RM158, C Reserve: RM98.
Tempahan pula boleh dibuat melalui telefon: 03- 2051 7007 atau tempahan Fax: 03- 2051 7077
Tempahan Email: dfp_boxoffice@petronas.com.my
Laman Web DFP/MPO: www.dfp.com.my & www.mpo.com.my
Penyanyi dan produser muzik ternama, Dato' M Nasir akan berkolaborasi dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO) dalam satu persembahan hebat di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 13 dan 14 Julai ini pada pukul 8.30 malam bagi menutup tirai konsert 2011/12.
Para penonton bakal disajikan dengan perjalanan seni beliau selama 35 tahun. Antara lagu-lagu hits dan malar segar yang diinterpretasikan oleh MPO, adalah Kias Fansuri, Sahabat Gua, Apokalips, Juwita, Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Bonda, Kepadamu Kekasih, Sentuhan Listrikmu, Ada, Di Balik Cermin Mimpi, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Mustika, Raikan Cinta dan Suatu Masa.
M Nasir telah memulakan karier bersama kumpulan Kembara dan melahirkan 4 album pada awal tahun 1980an sebelum bergerak secara solo pada tahun 1989 (melalui album yang bertajuk Solo). Beliau kemudian menghasilkan 7 lagi album solo, selain mencipta lagu dan menerbitkan album untuk sebegitu ramai artis.
Beliau telah dianugerahkan dengan pelbagai penghargaan untuk karya seni lagu dan filem; Anugerah Juara Lagu (1990, 1991, 1993, 1994, 1999, 2000 dan 2012), Festival Filem Malaysia (1984 dan 1990), Anugerah Skrin TV3 (1997), Anugerah Industri Muzik (2001 dan 2002), Anugerah Planet Muzik (2001), selain memenangi kategori Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1994).
Antara konsert beliau yang melakar sejarah ialah Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), persembahan akustik Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (1995) dan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya (2009).
Konsert kali ini bakal dipimpin oleh Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field. Ini merupakan kali ketiga MPO meraikan muzik penyanyi legenda tempatan selepas Tan Sri SM Salim (2001) dan Dato' Sheila Majid (2010).
Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO dianggotai oleh 100 pemuzik dan pernah membuat persembahan di Australia, Jepun, Korea, Taiwan, China dan Singapura.
0 ulasan:
Catat Ulasan