"Saya pernah menceritakan apa sebenarnya yang berlaku, tetapi saya akan jelaskan sekali lagi dalam Bilik 7 ini. Saya datang dari kampung dan bukan mudah hidup di kota besar yang penuh cabaran ini. Terlalu besar dugaan yang saya dilalui bersendirian jauh daripada keluarga dan kampung halaman.
"Mujurlah dalam kepayahan itu Ayu berkenalan dengan seorang pemuda yang baik dan memahami Ayu iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin. Dia menjadi penyelamat saya dan selalu bersama saya. Menerusi perkenalan yang singkat itu, kami terus mengambil keputusan mendirikan rumah tangga," katanya.
Ayu juga menjelaskan sikapnya yang lepas laku, kasar, tidak pandai berkomunikasi dengan pihak media, suka berfoya-foya dan berpesta.
"Tidak dinafikan ketika itu saya terlalu muda dan berusia 19 tahun. Dari kampung saya berhijrah ke kota dengan tujuan merubah hidup keluarga agar menjadi lebih baik dan dalam sekelip mata berjaya. Saya rasa bagaikan berada di puncak dunia, ke mana pergi dikenali ramai dan populariti itu hampir menghanyutkan saya kerana kejutan budaya.
"Gosip liar membuatkan saya terluka dan cara terbaik untuk menangkisnya, saya berkahwin. Ingatkan semuanya akan berakhir di situ, tetapi ia semakin ganas. Timbul pula isu saya berkahwin secara senyap kononnya disebabkan saya hamil. Memang kita tak boleh menutup mulut orang, ada saja tohmahan yang dilemparkan.
"Saya ada alasan kenapa menyembunyikan perkahwinan daripada pengetahuan umum demi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak keluarga serta suami yang enggan perkara itu disensasikan. Sebagai anak, saya perlu menghormati permintaan mereka dan berharap peminat memahaminya. Kalau ikutkan hati, saya mahu berkongsi kegembiraan sebagai isteri dan ibu dengan semua orang.
"Apa pun saya kesal dengan apa yang terjadi sehingga menyusahkan pihak pengurusan The 8Unit dan syarikat rakaman Monkey Bone. Syukur, kini situasi sudah berubah dan kami sedang menyiapkan album kedua yang bakal menemui peminat tidak lama lagi. Saya berharap dengan permohonan maaf ini semua pihak sudi memaafkan saya dan menerima saya kembali dalam industri," katanya.
Tambah Ayu, dia tidak menyesal berkahwin awal kerana apa yang berlaku ditetapkan Allah SWT.
"Alhamdulillah, selepas berkahwin saya semakin matang dan lebih bertanggungjawab. Perkahwinan ini sedikit sebanyak mengubah sikap dan karakter saya," katanya.
Menurut Ayu, kehadiran Syarifah Alya Adriana melengkapkan rumah tangga mereka dan ketika dia sibuk dengan aktiviti seni, suami banyak membantunya menguruskan anak.
"Saya akan bekerja keras demi anak kerana merekalah segalanya dalam hidup saya sekarang," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan