Pernyataan maaf itu dilakukan pada satu majlis yang diatur oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang turut dihadiri Neelofa dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.
“Saya, Nur Anzalna Nasir, ingin minta maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar mingguan yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarga.
“Saya juga tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Jun itu di muka surat 10 akhbar tersebut," katanya ketika membaca pernyataan maaf itu.
Sebelum pernyataan itu dibacakan, Anzalna dan Neelofa bersetuju menandatangani surat perjanjian akujanji yang memuatkan beberapa terma dan ia turut dipersetujui oleh peguam masing-masing.
Bagaimanapun kedua-dua pihak tidak menjelaskan secara terperinci isu kandungan akujanji tersebut.
Anzalna diwakili oleh Exco Perundangan dan Aduan Seniman, Zahrin Ishak manakala Neelofa pula ditemani dua peguam daripada Ahmad Hidayat Md. Nor & Co.
Sementara itu Neelofa berkata, dia bersyukur kerana kemelut dengan Anzalna sudah berakhir dan berharap jika ada artis lain yang menghadapi masalah begitu, jangan takut untuk mengambil tindakan.
“Saya dengan ikhlas dan rela hati memaafkan Anzalna, bukan kerana majlis yang diatur ini. Saya memang ada niat nak maafkan dia sebab tidak mahu perkara ini berpanjangan.
“Saya tahu, saya berada di pihak yang benar dan apa yang saya lakukan berdasar undang-undang. Untuk masa hadapan saya tidak kisah jika terpaksa berlakon atau bekerjasama.
“Lagipun industri kita kecil sahaja, ke mana pergi mesti bertembung. Dulu pun kalau bertemu, saya selalu bertegur sapa dan sekarang ini pun saya tetap lakukan perkara yang sama," katanya.
Dalam pada itu, Anzalna ketika dihubungi menegaskan meskipun telah membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka namun dia tidak menganggap dia bersalah.
“Biarlah apa orang nak kata apa, yang penting saya telah memohon maaf secara ikhlas dan berharap perkara ini tidak berpanjangan.
“Saya lakukan semua ini bukan untuk urusan dunia sahaja tapi yang paling utama akhirat. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan ini adalah dugaan yang Allah beri kepada saya," katanya.
Pada 13 Jun lalu, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md. Nor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak telah mengeluarkan notis menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya dalam sebuah akhbar mingguan pada 10 Jun jika tidak mahu menghadapi tindakan undang-undang.
Bagaimanapun Seniman bersetuju menjadi pendamai demi memastikan kemelut tersebut tidak berpanjangan dan selepas Anzalna sendiri meminta persatuan itu untuk mengatur pertemuan antara dirinya dan Neelofa.
Neelofa menerusi surat kepada Seniman bersetuju namun mengenakan beberapa syarat antara lain Anzalna tidak boleh menyebut dan mengaitkan nama Neelofa dalam sebarang kenyataannya sama ada ditemuramah atau media sosial.
Terdahulu, Anzalna telah mengeluarkan kenyataan menerusi akhbar Bi-Pop bertajuk Anzalna Bidas Lofa pada 10 Jun 2012 yang disifatkan Neelofa sebagai memfitnahnya.
Dalam kenyataan tersebut, Anzalna mendakwa Neelofa pernah menghina keluarganya selain seorang yang busuk hati.
0 ulasan:
Catat Ulasan