Namun, Amanda menafikan sekeras-kerasnya gossip yang memperkatakan mengenai peluang ke luar negara kononnya ditaja VIP.
“Kalau itulah gosipnya, ia memang melampau! Saya tak pernah pun ditaja mana-mana VIP tak kiralah yang berpangkat Datuk atau Tan Sri. Sebaliknya, saya pergi ke semua festival itu atas usaha sendiri serta undangan daripada pihak pengajur. Contohnya, Pengarah Universong Festival, Guilermo Albelo sendiri mengundang saya untuk menyertai pertandingan berkenaan di Sepanyol.
“Saya akui saya bukan anak orang kaya yang sanggup keluarkan duit sendiri semata-mata untuk mendapat peluang menyanyi di festival luar negara. Maklumlah, kos untuk menyertai festival sebegitu bukannya murah kerana ia menggunakan mata wang asing. Contohnya, bajet untuk tiket penerbangan dan penginapan di Sepanyol semuanya menggunakan mata wang Euro.
“Namun, peluang ini saya dapat selepas ada pihak melihat penyertaan dan bakat saya dalam festival sebelum ini dan pihak penganjur di Eropah juga saling mengenali antara satu sama lain,” ujarnya yang turut mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Bercerita lebih lanjut mengenai Universong Festival 2012, acara pada malam kemuncak akan menyaksikan pengiktirafan ke atas komposer dan penyanyi untuk merebut pelbagai anugerah pada 21 Julai nanti.
Katanya, Organization of European Music Festivals adalah penganjur utama festival berkenaan dengan kerjasama Eurosingers - Spain Sings In Europe.
“Secara peribadi, saya rasa bangga kerana tetap membawa nama baik Malaysia ke festival itu. Namun, saya tetap gementar sekalipun ada sedikit pengalaman menyertai pertandingan nyanyian di luar negara sebelum ini.
“Apatah lagi memikirkan saya perlu bersaing dengan lebih ramai peserta dari pelbagai negara seperti Romania, Sepanyol, Armenia, El Savador, Lituana, Poland, Russia, Cuba, Malta, Mexico, Perancis, Ukraine, Puerto Rico, Itali dan Thailand,” katanya.
Mengenai lagu yang akan disampaikan kelak, kata Amanda, dia memilih melodi segar daripada album sulungnya berjudul Jatuh Cinta Kasih yang juga sentuhan daripada Ajai dan dia sendiri.
“Saya pilih lagu itu kerana ia sesuai untuk acara berbentuk festival. Sebagai penyanyi, pasti saya menjanjikan yang terbaik dan berharap untuk membawa pulang apa-apa anugerah melalui pertandingan itu nanti, insya-Allah,” katanya.
Dari segi penggayaan, Amanda bakal memakai busana rekaan pereka fesyen tempatan, Ashley Wong pada festival berkenaan.
Kata Amanda lagi, selepas mula dikenali dengan lagu Cemburu yang menampilkan vokal Malique, dia kini sibuk menyiapkan pembikinan single terbaru berjudul Fobia Cinta dengan menonjolkan pemain violin, Dennis Lau sebagai satu kelainan.
Antara kejayaan Amanda Imani adalah Best Young Talent pada The World Association of Festivals and Artists (WAFA) 2011; Best Original Song (Selamilah Cinta) pada 20th International Music Festival Discovery 2011 (Bulgaria) serta Best Pop Song (Selamilah Cinta) dalam Voize Independent Music Award (VIMA) 2010.
0 ulasan:
Catat Ulasan