Erykah atau nama sebenar Erica Abi Wright hadir mengenakan gaun longgar turut mengucapkan ‘Assalamualaikum’ sebelum menjawab soalan media, tetapi enggan menyentuh isu agama kerana tidak mahu disalah erti.
Katanya, dia sangat menantikan kunjungan ke Kuala Lumpur yang menjadi antara destinasi jelajah di Asia Tenggara, namun tidak menyangka berakhir dengan kesedihan apabila dimaklumkan berita pembatalan itu, kelmarin.
Penyanyi itu akur dan menghormati budaya serta sensitiviti masyarakat tempatan khususnya umat Islam malah berharap dapat bertemu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mendapatkan penjelasan.
“Saya menempuh perjalanan jauh untuk menjayakan konsert ini. Saya jujur kepada semua yang meminati saya.
“Bagi saya, semua yang terjadi ada hikmahnya. Walau berdepan insiden ini, saya tidak akan serik untuk datang ke Malaysia lagi sekiranya diundang semula,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan Pineapple Concerts Sdn Bhd, Razman Razali yang juga penganjur Konsert Erykah Live In KL 2012.
Mengenai tatu kalimah Allah pada tubuhnya, Erykah menegaskan ia hanya lukisan sementara yang dilukis tahun lalu berilhamkan filem The Holly Mountain, diterbitkan pada 1973.
“Saya menganggap ia sekadar kerja seni, malah tiada niat mahu menyinggung sesiapa. Cuma barangkali budaya antara Amerika dan tempat lain berbeza,” katanya.
Razman pula berkata, pihaknya masih mempertimbangkan keputusan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar terbabit yang secara terangan melakukan kecuaian hingga Pineapple Concert menanggung kerugian.
“Pihak berkenaan sebuah akhbar berpengaruh yang pastinya memahami apa boleh atau tidak boleh disiarkan. Kami kesal kerana disebabkan sikap tidak peka mereka, lesen penganjuran konsert ini ditarik balik,” katanya.
Sementara itu, Rais berkata tindakan kementerian membatalkan konsert Erykah mendapat sokongan Jemaah Menteri.
Beliau membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet berhubung pembatalan konsert dari segi keselamatan dan kepentingan menghormati agama, bangsa dan budaya sosial di Malaysia.
0 ulasan:
Catat Ulasan