25 fakta menarik mengenai Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang mungkin anda tidak tahu.

Update: Keputusan Penuh Pemenang ABPBH25, sila klik sini

1) Edisi pertama anugerah ini dikenali sebagai Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 (APPP87). Ketika itu Nescafe Classic menjadi penaja utama dan acara itu langsung di Dewan Bunga Raya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam 1 Disember 1987.

2) Hampir 380,000 borang undian diterima daripada pembaca akhbar ini pada tahun pertama. Artis yang mendapat undian terbanyak ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud (284,813 undi), diikuti Francissca Peter (246,838 undi).

3) Pada peringkat awal tujuh kategori diperkenalkan; Pelakon Lelaki Popular, Pelakon Wanita Popular, Pelakon Pembantu Lelaki Popular, Pelakon Pembantu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Penyanyi Berkumpulan Popular.


4) Impak daripada kejayaan pertama, APPP88 pula dianjurkan. Mengekalkan tujuh kategori yang sama, acara kemuncak kali ini berlangsung di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor, pada malam 10 Disember 1988 dan dihoskan oleh N.D. Lala dan Charmaine Agustine . Kali ini APPP88 telah dirakam untuk siaran TV3 pada 25 Disember tahun itu.

5) APPP89 dianjurkan dengan kerjasama RTM dan Salem dan buat pertama kalinya disiarkan secara langsung dari Angkasapuri pada 13 Januari 1990, jam 8.30 malam. Hosnya adalah DJ Ainul Jamal dan Sharifah Sakinah Al Junid.

6) Mulai tahun 1990, kategori Artis Paling Popular diperkenalkan bagi mengiktiraf artis yang mendapat undian terbanyak secara keseluruhan. Pemenang pertama Artis Paling Popular ialah penyanyi Aishah.

7) Bermula 1992, Anugerah Penyanyi/Pelakon Popular ditukar namanya menjadi Anugerah Bintang-Bintang Popular. Jumlah kategori ditambah kepada 15, termasuk Penghibur TV Lelaki dan Wanita, Pelakon TV Lelaki dan Wanita, Artis Komedi Lelaki dan Wanita, dan Drama TV.

8) Drama bersiri Opah menjadi satu-satunya pemenang untuk Anugerah Drama TV kerana kategori ini hanya dipertandingkan pada tahun 1992.

9) Pada tahun 1994, nama penganugerahan dipendekkan menjadi Anugerah Bintang Popular.

10) Pada tahun 1996, Anugerah Bintang Popular memperkenalkan dua kategori yang dinilai oleh juri, iaitu Kategori Filem (Filem, Pelakon Lelaki dan Wanita, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Hadiah Khas Juri Grand Brilliance) dan Kategori Drama (Drama, Pengarah, Pelakon Lelaki dan Wanita, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita, Skrip, Suntingan, Videografi Terbaik; Anugerah Khas Juri). Tetapi kategori-kategori ini bertahan sehingga edisi 1997/98 sahaja.

11) Datuk Siti Nurhaliza adalah satu-satunya pemenang untuk kategori Artis Remaja Popular yang diperkenalkan pada tahun 1996. Ini kerana kategori ini hanya dipertandingkan sekali sahaja. Tahun ini juga merupakan detik kejayaan manis kepada Siti kerana dia turut dinobatkan sebagai Artis Paling Popular disamping dua lagi anugerah iaitu Anugerah Penyanyi Wanita Popular dan Penghibur TV Popular.

12) Tahun 1997, kategori Artis Remaja Popular digantikan dengan Artis Baru Popular dan ia dimenangi oleh pengarah popular sekarang ini, Ahmad Idham.

13) Awie mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular selama tiga tahun berturut-turut iaitu dari tahun 1993 sehingga tahun 1996. Pada penganjuran berikutnya, tempatnya diambil alih oleh Rosyam Nor.

14) Pada 1998/1999, ABP memperkenalkan kategori Penyanyi Nasyid Popular dan pemenang pertamanya ialah Raihan.

15) Edisi ABP 1998/99 turut menyediakan dua Anugerah Khas untuk Seniman Veteran dan Seniwati Veteran (diberikan kepada Ibrahim Pendek dan Ruminah Sidek); masing-masing ditukar namanya menjadi Anugerah Seniman Veteran dan Anugerah Seniwati Veteran dan bertahan sehingga tahun 2001.

16) Edisi 1998/99 memperkenalkan kategori Artis Bukan Melayu Popular untuk seniman bukan berketurunan Melayu, dan pemenang pertamanya ialah Sathiya. Kategori ini bertahan sehingga 2004 dengan Vince sebagai pemenang terakhirnya.

17) Anugerah Khas Bintang Popular mula diperkenalkan pada tahun 2000. Antara pemenangnya ialah Anita Sarawak, Sheila on 7 dan Datuk Jamil Sulong

18) Edisi tahun 2000 turut memperkenalkan Artis Kanak-kanak Popular untuk setahun sahaja. Pemenangnya ialah kumpulan Kristal.

19) Bermula edisi 2001, ABP disiarkan secara langsung oleh TV3. Tempat acaranya berpindah dari Angkasapuri ke Arena All Stars, Genting Highlands.

20) Pada tahun 2003, beberapa perubahan dibuat ke atas beberapa kategori. Kategori Artis Berkumpulan Popular ditukar menjadi Artis Berkumpulan/Duo Popular (kekal hingga kini), kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular ditukar kepada "Pelakon TV/VCD Lelaki Popular" dan "Pelakon TV/VCD Wanita Popular (kekal sehingga 2005).

21) ABPBH 2007 menggantikan tiga anugerah khas juri iaitu Anugerah Biduan Veteran, Anugerah Seniwati Veteran dan Anugerah Khas Bintang Popular, dengan satu anugerah yang serupa peranannya iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Penerima pertamanya ialah M. Nasir.

22) ABPBH 2010 mengundang kekecewaan kepada peminat Datuk Siti Nurhaliza apabila Diva nombor satu negara ini mengumumkan dia menarik diri daripada bertanding. Alasan Siti, dia mahu memberi laluan kepada pelapis-pelapis muda yang lain untuk mengecapi impian yang sama.

23) Dalam sejarah ABPBH, Datuk Siti Nurhaliza merupakan artis yang telah menggondol anugerah yang paling banyak. Datuk Siti pernah menang anugerah Artis Paling Popular sebanyak tujuh kali, dan Penyanyi Wanita Paling Popular sebanyak 13 kali

24) Kemenangan Nabil sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH 2008 menimbulkan kontroversi apabila pelakon dan pelawak ini bertindak memeluk Irma Hasmie yang ketika itu merupakan teman wanitanya. Nabil telah memohon maaf secara terbuka tentang perbuatannya itu.

25) ABPBH 2010 yang diadakan pada 3 April tahun lalu merupakan kali pertama pihak media dapat menghidu hubungan cinta pasangan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani. Bahkan, Lisa dan Yusry mengaku berjanji memakai baju warna yang sama untuk pertama kalinya.

Kredit: Gua

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top