10 filem 'blockbuster' pilihan wajib tonton dan pasti dinanti-nantikan peminat filem Hollywood!

1. Wrath Of The Titans

BERADA di senarai teratas, Wrath Of The Titans adalah filem aksi fantasi arahan Jonathan Leibesman yang diterbitkan Warner Bros Pictures, Lagendary Pictures dan Thunder Road Pictures.

Filem dibintangi Liam Neeson, Sam Worthington, Rosamund Pike, Ralph Fiennes, Bill Nighy dan Danny Houston ini memiliki kesan khas serta teknik CGI yang mengkagumkan. Malah sinematografi serta aksi yang dipaparkan menjadikan filem ini antara filem terbaik.

Sekiranya anda peminat filem fantasi aksi sebelum ini seperti Clash of The Titans, Gladiator, John Carter dan beberapa filem genre sama, Wrath Of The Titans mungkin satu pilihan. Pun begitu, ia masih lemah daripada segi perkembangan plot yang tampak bosan dan klise.

Walaupun ada pengkritik yang beranggapan filem ini gagal di mata mereka, Wrath Of The Titans masih mampu memberi impak kepada peminat filem genre ini.

2. The Hunger Games

FILEM arahan Gary Ross yang akan disiarkan pada 22 Mac ini, berunsur aksi drama sains fiksyen yang mengambil masa depan sebagai latar filem.

Kelebihan filem ini bukan saja terletak pada teknik CGI serta kesan khas lain yang diadaptasi ke rangka filem tapi lebih penting mesej kemanusiaan yang cuba disampaikan.

Malah filem yang diterbitkan Lionsgate dengan kos lebih RM300 juta, adalah adaptasi daripada buku berjudul sama yang tersenarai antara buku sains fiksyen yang popular.

Kisahnya mudah, rakyat terpaksa berjuang berkorban nyawa untuk mendapatkan sumber makanan dan tenaga. Ibarat gladiator masa depan, The Hunger Games adalah satu perjuangan atas nama kehidupan tapi terpaksa mengorbankan sifat dan nilai kemanusiaan.

Walaupun dibarisi pelakon baru dan kurang dikenali penonton tempatan, The Hunger Games masih mampu memberi impak maksimum kepada penonton untuk berfikir dan berhibur pada masa sama. Sekali gus, mesej yang cuba diserap masuk, akan dicerna tepat ke hati.

3. Mirror Mirror

SIAPA boleh lupa lakonan aktres jelita Julia Roberts yang tidak pernah lekang dengan lontaran rasa hebat pelbagai watak. Berikan apa saja watak komedi atau drama, pasti melekat di hati. Oleh itu, Mirror Mirror yang bakal menemui penonton penghujung bulan ini adalah filem wajib tonton bagi peminat pelakon jelita itu.

Filem arahan Tarsem Singh Dhandwar ini menjadi pilihan SELEBRITI kerana tarikan yang ada pada Julia, seperti mana yang pernah dilakukannya dalam Mona Lisa Smile, Erin Brockovich dan Larry Crowne. Cuma kali ini, Julia bertukar menjadi jahat dan berkarakter sebagai Ratu Jahat, watak daripada cerita dongeng popular barat, Snow White. Cuma dalam Mirror Mirror, watak ratu diangkat lebih tinggi dan diberi ruang luas untuk `dibenci'. Untuk watak itu, penonton bukan saja akan melihat sisi lain Julia malah kredibiliti aktres itu untuk kekal sebagai aktres terbaik! Selain Julia, filem ini turut dibintangi Lily Collins, Armie Hammer dan Sean Bean. Dan jika anda pernah menonton filem genre sama seperti Red Riding Hood (2010), Cinderella lakonan Drew Barrymore, pasti setuju Mirror Mirror perlu masuk ke dalam senarai.

4. The Avengers

Filem genre aksi, kuasa luar biasa dan fantasi masih menjadi filem pilihan peminat filem tempatan. Antara yang dinanti ialah The Avengers yang bakal menemui penonton penghujung April ini.

The Avengers memiliki hampir semua hero baru yang digilai masyarakat. Jika dulu Superman, Batman dan Spiderman menjadi pilihan anak muda daripada era 50-an sehinggalah era 90-an, untuk abad ini, Ironman, Captain America, Thor, Black Widow, The Hulk dan Hawkeye pula mengambil tempat.

Filem ini menjadi pilihan SELEBRITI bukan saja kerana kegilaan `superhero' tapi pelakon yang membawa watak `superhero' itu. Siapa boleh sangkal kehebatan Scarlett Johansson (Black Widow), Robert Downey Jr (Ironman), Cris Evans (Captain America) dan Samuel L Jackson sebagai penjahat bernama Nick Fury.

The Avengers mungkin bukan filem bertaraf Oscar tapi sejujurnya, ia filem aksi paling lumayan pada penerbit dan pelakon malah berbaloi buat tontonan peminat.

5. Men In Black 3

SATU lagi filem yang dinantinantikan ialah Men In Black 3. Sedekad lalu, jenama Men In Black mendorong peminat filem sains fiksyen memilih filem itu sebagai filem terbaik buat mereka.

Seperti mana kebanyakan filem besar lain yang memiliki peminat fanatik tersendiri sehingga terbentuknya persatuan serta kelab, MIB tidak ketinggalan. MIB1 dan MIB2 adalah dua filem yang merentas pemikiran sehebat Star Wars. Walaupun genre Star Wars lebih berdrama aksi dengan kesan khas menakjubkan, MIB dikategorikan sebagai filem sepanjang zaman.

Filem yang menampilkan Will Smith dan Tommy Lee Jones ini mendapat sentuhan pengarah sama yang menggarap dua siri MIB sebelum ini, Barry Sonnefeld.

6. The Amazing Spider-man

FILEM The Amazing Spider-man diletakkan dalam senarai 10 wajib tonton kerana plot dan pelakonnya yang jauh berbeza daripada beberapa siri filem Spiderman sebelum ini.

Malah pengarah Sam Raimi yang menjadi penggarap Spiderman lalu diketepikan secara terhormat apabila March Webb menggalas tugas untuk membentuk pengalaman dan keunikan baru lelaki `labah-labah.

Penonton tidak perlu membandingkan Spiderman lebih hebat kerana untuk The Amazing Spiderman, pelakon Andrew Garfield bertanggung jawab menggalas semangat baru Spiderman.

Sebagai mana diketahui, Spiderman antara hero besar kegilaan ramai selepas Batman dan Superman. Malah watak itu, mempunyai pengaruh sangat kuat di kalangan peminat sejak berdekad lalu. Bagi peminat-peminat Spiderman, nantikan kemunculan superhero ini yang akan merayap di panggung pada awal Julai ini!

7. Madagascar 3: Europe's Most Wanted

FILEM animasi, Madagascar 3: Europe's Most Wanted bakal menggeletek penonton pada awal Jun ini. Selepas kejayaan dua filem lalu, jenama animasi Madagascar menarik minat kanak-kanak untuk mengajak ibu bapa ke panggung.

Elemen komedi dan nilai murni persahabatan serta berani menerima perubahan menjadi elemen penting yang menjadikan Madagascar 3 filem animasi wajib tonton semua golongan. Apatah lagi, watak Alex, Marty, Melman, Gloria dan Maurice antara watak yang `disayangi' peminat filem itu sejak ia mula muncul di pawagam pada 2005.

Daripada segi plot, penonton bakal disajikan dengan jalan cerita yang lebih besar dan suntikan komedi yang lebih menarik. Malah, SELEBRITI pasti Madagascar kali ini memberi pengalaman baru kepada peminat filem itu untuk bergembira dan berhibur.

8. The Dark Knight Rises

SATU lagi filem hero pilihan SELEBRITI ialah The Dark Knight Rises yang mengangkat Batman sebagai penyelamat Gotham City. Lapan tahun selepas The Dark Knight, penonton bakal menyaksikan Batman dicabar dengan aksi lebih mendebarkan serta drama yang hebat.

Dalam The Dark Knight Rises, watak utama dipegang Christian Bale manakala watak Catwoman dikembalikan dengan penuh gaya oleh Anne Hathaway. Walaupun ada yang mempertikaikan Batman versi baru ini kurang impak kerana sub plotnya yang agak klise, SELEBRITI pasti itu bukan alasan untuk peminat hero `malam' itu muncul menggegarkan panggung tempatan.

Digarap pengarah terbaik Oscar untuk filem The Fighter, Christopher Nolan, pasti akan menyuntik lebih banyak drama. Apatah lagi kebanyakan karyanya sebelum ini menggunakan teknik hampir sama, aksi yang estetika dan drama berat.

9. The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 2

FILEM romantik pontianak yang menjadi kegilaan remaja terutamanya wanita hari ini, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 2 pasti satu-satunya filem yang sangat dinanti-nantikan.

Jika bahagian satu sebelum ini mendapat kritikan dek plot serta subplot yang perlahan, pengarah Bill Condon cuba menyuntik sesuatu yang lebih `fast-cut' tapi meninggalkan kesan dalam bahagian dua ini.

Kisah berkisar kepada peralihan Bella ke cara hidup pontianak.

Bagaimanapun, dia perlu menyesuaikan diri dengan kebolehan barunya dengan pantas apatah lagi apabila dia mula ditentang hebat pontianak bernama Irina. Lebih dinantikan perkembangan kisah anak Bella dan Cullen yang sememangnya menjadi topik hangat.

Bill Condon tidak akan mengurangkan unsur drama tapi dia akan memperkuatkan elemen aksi untuk menarik penonton baru ke panggung. Berjaya atau tidak, sama-sama kita nantikan November ini!

10. The Hobbit: An Unexpected Journey

KEJAYAAN trilogi Lord Of The Rings garapan Peter Jackson menjadi fenomena seluruh dunia. Tapi dalam perjalanan kali ini, bukan lagi kisah cincin atau persekutuan antarabangsa Middle Earth, sebaliknya menyelongkar personaliti The Hobbit, biar kerdil tapi peranan besar.


The Hobbit: An Unexpected Journey bagai kena dengan tajuknya.

Penonton bukan saja akan melihat sisi baru bangsa kerdil itu tapi menuruti karakter Bilbo Baggins, yang menempuh pengembaraan epik baru untuk menuntut Kerajaan Kerdil di Erebor (Dwarf Kingdom of Erebor) yang sebelum ini ditakluk kumpulan naga Smaug.

Apakah The Hobbit akan bergabung dengan rakan-rakan lalu, itu anda perlu saksikan sendiri. Tapi apa yang pasti, beberapa watak baru seperti Goblins dan Orcs, labah-labah rasaksa, ahli sihir dan `shapeshifter' muncul mencabar mereka.

Jangan anggap ini pengembaraan sambungan tapi sebuah pengembaraan baru dengan musuh, cabaran dan lokasi baru yang lebih hebat Disember ini!

~ MA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top