Kutipan filem Adnan Sempit 2 terbitan MIG berjaya mengatasi filem pertamanya dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM6.8 juta dalam masa dua minggu di pawagam.

Ketua Pegawai Eksekutif MIG, Mejar David Teo berkata ia merupakan sejarah pertama dalam industri perfileman apabila filem sekuel berkenaan berjaya mengatasi kutipan filem asalnya.

"Memang dalam senarai kutipan Finas, filem Adnan Sempit yang pertama dicatatkan sebanyak RM7.6 juta iaitu lebih banyak dari kutipan sekuelnya sekarang. Tetapi itu untuk jangka masa lebih sebulan di pawagam.


"Berbanding sekuelnya kali ini, hanya dalam masa dua minggu saja ianya telah mencecah RM6.8 juta.

"Malah telah mengatasi kutipan Adnan Sempit di pawagam yang hanya mencecah RM5.8 juta dalam masa dua minggu tayangannya.

"Ini bermakna, buat pertama kalinya dalam sejarah perfileman, filem sekuel Adnan Sempit lebih berjaya daripada filem asalnya," katanya dalam majlis kesyukuran meraikan filem Adnan Sempit 2, yang berlangsung di Kelantan Delights, Subang Jaya, baru-baru ini.

Adnan Sempit 2 yang masih diterjui oleh bintang asalnya iaitu Shahezy Sam, Intan Ladyana, Yana Samsudin, Along Raja Lawak dan Angah Raja Lawak telah tamat tayangannya di pawagam, bagaimanapun memasuki tayangan untuk Astro First sejak 8 Mac lalu.

Dengan kejayaan serta sambutan yang menggalakkan itu, David Teo berkata Adnan Sempit akan terus menjadi jenama tetap MIG bagi meneruskan sekuel seterusnya selepas tamat penggambaran sekuelnya yang berjudul Wawa Semput.

"Kami tidak berhenti dengan sekuel Wawa Semput sahaja kerana saya yakin jenama Adnan Sempit masih boleh diteruskan untuk sekuel keempatnya selepas sambutan dan penerimaan yang menggalakan daripada filem ini.

"Jadi pada 17 April ini, saya tidak teragak-agak menetapkan sekuel Adnan Sempit 3 pula akan memulakan penggambarannya bersama pengarah yang masih dikekalkan iaitu Ismail Bob Hashim.

"Bagi saya Adnan Sempit sama seperti filem hero lain seperti di peringkat antarabangsa kita ada Batman, Superman dan Spiderman. Tidak mustahil saya akan teruskan sehingga 10 sekuel kesemuanya,"jelasnya lagi.

Wawa Semput merupkan filem sekuel ketiga yang lebih mengisahkan mengenai watak Wawa yang dilakonkan oleh Yana Samsudin.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top