Barisan pelakon yang meminjamkan suara mereka untuk filem tersebut antaranya Aizat Amdan, Mamat (Sepah), Steven Tan, Baki Zainal, Noh (Hujan), Douglas Lim, Rahim Omar, Deanna Yusoff, Adila Shakir, Harun Salim Bachik, Harris Alif, Aznil Nawawi, Ezlynn dan Afdlin Shauki.
Filem ini akan menggunakan sepenuhnya Imej Janaan Komputer (CGI) dengan kos penerbitan sebanyak RM6 juta dengan menggunakan tenaga kerja tempatan sepenuhnya. Filem yang mengambil masa dua tahun sebagai persediaan itu akan menggabungkan 100 pakar tempatan dalam dunia grafik, muzik, animasi, komposer dan pelakon suara bagi menjayakannya.
"Dengan penerbitan Bola Kampung The Movie ini kami berharap dapat mempertingkatkan mutu produksi animasi di Malaysia selain menarik minat pihak antarabangsa terhadap produk buatan Malaysia," ujar Chan,Pengarah Urusan Animasia Studio.
Filem ini juga akan dipasarkan di peringkat antarabangsa terutamanya seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan Turki yang mana siri kartun itu sangat popular.
Chan memberitahu, pihaknya tidak hanya menyasarkan kepada kanak-kanak untuk menonton filem ini sebaliknya berharap seluruh keluarga dapat menikmati Bola Kampung The Movie di pawagam nanti.
Pihaknya juga akan melakukan promosi filem ini secara besar-besaran selain melalui peraduan menerusi talian selain memperkenalkan beberapa barangan cenderahati seperti alat tulis, patung mainan, pakaian dan sebagainya untuk penonton cilik.
Filem berkenaan berkisarkan mengenai Amanda, seorang puteri dunia permainan maya 'Kingdom Hill' dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira legenda, 'Suria Warrior' yang mampu menyelamatkan negaranya daripada peperangan.
Setibanya dia di kampung itu, Puteri Amanda telah hilang ingatan dan wira Bola Kampung iaitu Iwan telah menyelamatkannya dan dari situ pelbagai peristiwa menarik telah berlaku.
Drama siri Bola Kampung sehingga kini telah ditayangkan sebanyak 78 episod termasuklah menerusi saluran Disney Channel Asia dan Cartoon Network Asia.
0 ulasan:
Catat Ulasan