Cinta Stroberi Dan Coklat bermula dengan babak mengimbas kembali watak Rafie yang gemar menyanyi sejak dari zaman sekolah rendah. Di sekolah, dia pernah berduet dengan Lisa Aleena, seorang yang sangat berbakat sehingga Rafie berasa rendah diri.
Namun dia suka berkawan dengan Aleen dan sangat bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru kerana mereka akan belajar di kelas yang sama. Namun, Rafie kecewa kerana Aleen berpindah mengikut bapanya.
Kini, Rafie sedang belajar di Aswara dan hari itu, mereka akan diperkenalkan dengan semua ahli kumpulan yang akan menjayakan pementasan Uda dan Dara.
Tiba-tiba muncul seorang pelajar baru bernama Lisa yang turut berada dalam senarai untuk memegang watak utama. Seorang yang mempunyai suara yang merdu. Rafie seperti berasa sesuatu apabila mendengar suara dan melihat Lisa. Sebenarnya Lisa ialah Aleen, Lisa Aleena.
Rafie, kawan baiknya, Kay, Alfie dan yang lain memulakan sesi latihan untuk teater Uda & Dara. Kay pula mula menyukai seorang pelajar baru bernama Aishah, kawan baik Lisa. Lisa pula berasa tidak selesa kerana pak ciknya, Ikhwan adalah salah seorang tenaga pengajar di Aswara. Hubungan mereka dingin disebabkan kisah silam yang masih membelenggu.
Rafie semakin rapat dengan Lisa dan menawarkan Lisa menyertai kumpulan mereka. Dia juga sering merenung gambarnya dengan Aleen ketika di sekolah rendah dulu.
Lisa cuba mengelak apabila Ikhwan cuba berbual dengannya. Dia tidak mahu bersemuka dengan pakciknya itu. Ikhwan cuba berbaik-baik untuk menebus kesalahan abangnya terhadap Lisa dan ibunya.
Sementara itu, Rafie digugurkan daripada kumpulan itu. Rafie kecewa. Balqis yang juga bekas kekasih Rafie mula cemburu dengan hubungan Rafie dan Lisa yang semakin akrab. Rafie pula beranggapan Balqis cuba mensabotaj dirinya dengan membuat aduan terhadap Puan Fatimah.
Sebaliknya Puan Fatimah beranggapan Rafie tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam penghasilan karyanya sebagai pengarah muzik. Dibebani rasa bersalah membuatkan Rafie meminta maaf daripada Balqis. Lisa juga meminta maaf kepada Ikhwan apabila dinasihati oleh Puan Salbi, ibu Rafie yang juga Rektor di kolej itu.
Hari itu juga, mereka menerima satu berita gempar iaitu ketua kumpulan mereka meninggal dunia dalam satu kemalangan. Kay berbincang dengan Rafie bahawa dia adalah calon paling sesuai untuk menggantikan tempat Maman sebagai ketua kumpulan.
Kematian Maman, menimbulkan banyak konflik apabila ramai yang mahukan tempat Maman sebagai ketua kumpulan, selain, ahli anggota pasukan itu saling jatuh cinta serta hubungan Rafie dan Puan Salbi juga sering goyah.
Kecewa dengan sikap mereka semua, Puan Salbi membuat keputusan untuk membatalkan pementasan teater itu sehingga Balqis bertindak meminta maaf daripada Aishah dan meminta Kay, Rafie dan Alfie turut berbuat demikian untuk menjernihkan semula keadaan.
Bagaimanakah kesudahannya? Adakah Puan Salbi berubah hati untuk meneruskan pementasan teater itu atau sebaliknya?
Cinta Stroberi Dan Coklat mula bersiaran 29 Februari lalu, setiap Rabu, jam 9 malam di TV2 dengan membariskan pelakon Nabil Zamanhuri, Ain Satar, Sheikh Eamir, Qhaud, Sherry Merlis, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Shajiry.
0 ulasan:
Catat Ulasan