Slot Skrin Di 9 yang ke udara setiap Rabu, jam 8.30 malam bakal menghiburkan seisi keluarga dengan telefilem menarik sepanjang April ini. Menerusi paparan kisah kekeluargaan berjudul Bila Joyah Masuk TV, Skizo dan Secangkir Keredhaan yang dibarisi pelakon berpengalaman serta berkebolehan seperti Jasmin Hamid, Dottie, Bell Ngasri, Norman Hakim, Memey, Aziz Satar, Ungku Ismail, Nabila Huda, Yasmin Hani dan ramai lagi masa senggang anda pasti terisi.
Bila Joyah Masuk TV yang akan bersiaran pada 11 April depan, menyaksikan Jasmin Hamid melakonkan watak Joyah yang kuat membebel. Cerita bermula dengan Joyah diceraikan suaminya dan perlu membesarkan dua anak, Syak (Bell Ngasri) dan Wawa (Dottie).
Selain kuat membebel, Joyah juga terkenal dengan kerepek ubinya yang sedap. Hidupnya berubah apabila syarikat produksi drama menjalankan penggambaran telefilem Syurga di Hati, Neraka di Jauhi di kampungnya. Kebetulan watak utama drama berkenaan tidak hadir dan untuk mengurangkan kos bayaran artis, produksi memujuk Joyah berlakon.
Telefilem itu mendapat maklum balas positif masyarakat, lalu pihak penerbitan menyambungnya kepada drama bersiri. Joyah ditawarkan watak utama bergandingan dengan Norman Hakim.
Rezeki terpijak itu menukar kehidupan Joyah daripada seorang janda yang menjual kerepek ubi kepada pelakon terkenal. Namun, apabila semakin popular, Joyah mula lupa daratan. Dia cerewet soal bayaran hingga tidak ada siapa berani mengambilnya berlakon.
Minggu berikutnya (18 April), Skizo yang dibintangi Ungku Ismail, Nabila Huda, Jashuke dan Yasmin Hani menghiasi slot Skrin di 9. Mengisahkan Aisyah, lakonan Yasmin Hani berkahwin dengan Azlan (Ungku Ismail). Aisyah pewaris tunggal harta Datuk Zamani yang meninggal dunia akibat kapal terbang terhempas. Aisyah menyerahkan segala urusan perniagaan peninggalan arwah bapanya kepada Azlan.
Meskipun lima tahun bergelar isteri, dia belum dikurniakan cahaya mata dan bercadang untuk mengambil anak angkat tetapi Azlan tidak bersetuju. Azlan terpaksa meninggalkan Aisyah selama setahun untuk menguruskan perniagaan di luar negara.
Ketika pulang dari lapangan terbang, Aisyah terkejut apabila ada seorang wanita pengsan di depan pagar rumahnya. Apabila sedar, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Suzana dan mengaku dirinya hamil. Suzana melarikan diri daripada kekasihnya yang zalim iaitu Sahul (Jashuke). Suzana mahu menggugurkan kandungannya tetapi Aisyah menghalang.
Memandangkan Aisyah sangat inginkan anak, Suzana mencadangkan supaya Aisyah menipu Azlan kononnya dia hamil. Suzana berjanji akan menyerahkan bayinya kepada Aisyah.
Rancangan itu bagaimanapun dapat dihidu Sahul dan menyebabkan Aisyah sering diugut lelaki tidak bertimbang rasa itu. Satu hari Aisyah bergelut dengan Sahul dan secara tidak sengaja tertikam Sahul. Aisyah panik lalu dia dan Suzana mencampakkan mayat Sahul ke dalam gaung.
Secangkir Keredhaan lakonan Ako Mustafa, Fadhilah Mansor, Sofie Jikan, Abu Bakar Juah, Abu Bakar Omar serta dua pelakon cilik, Daniel Zulkifli dan Sarah Nadia Zulkifle bakal menemui penonton pada 25 April depan, jam 8.30 malam.
Telefilem ini membawa penonton menyelami emosi Fariz (Ako Mustafa) yang mencari bapa kandungnya yang sudah lama terpisah. Faiz berdendam apabila mendapat tahu bapanya menjualnya kepada Saleha (Fadhilah Mansor) dengan harga RM5,000.
Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mencari bapanya, kereta Fariz terkena batu yang dibaling Syuqran. Fariz memberhentikan kereta dalam keadaan marah tetapi hatinya tersentuh apabila mendapat tahu Syuqran terpaksa buat begitu untuk menyelamatkan adiknya, Suriani, yang cedera.
Selepas menghantar Syuqran dan adiknya ke klinik, Fariz menghulurkan wang RM50 kepada kanak-kanak itu. Walaupun sudah dua minggu peristiwa itu berlalu, Fariz masih tidak dapat melupakan wajah dua anak miskin itu. Masih terngiang-ngiang di telinga doa Syuqran semoga Fariz dimurahkan rezeki. Ternyata doa anak kecil itu termakbul apabila Fariz mendapat projek besar.
Siapakah Syuqran dan Suriani sebenarnya? Berjayakah Fariz bertemu dengan bapanya yang lama menghilang? Ikuti jawapannya dalam Secangkir Keredhaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan