Ulasan Filem The Vow
Ada satu cetusan rasa yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata tatkala menonton babak ini - dalam sebuah studio rakaman, Leo (lakonan Channing Tatum) memetik gitar bagai sedang bermeditasi. Dalam nada sedih dia berkata, wanita itu tidak lagi menyintainya. Wanita itu ialah Paige (Rachel McAdams), yang hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ulasan Filem The Vow

Buat pasangan bercinta terutamanya suami isteri, situasi yang dilalui Leo dan Paige ibarat antara dugaan paling besar dalam hidup. The Vow diangkat daripada kisah benar sepasang suami isteri yang mana si isteri mengalami masalah hilang ingatan akibat kemalangan.

Menariknya, hari ini, pasangan berkenaan masih kekal bahagia selepas si suami tidak pernah berputus asa berusaha mencari jalan mengembalikan semula rasa cinta dan sayang si isteri.

Walaupun plotnya tidak ubah seperti filem '50 First Date' (2004) lakonan Adam Sandler dan Drew Barrymore, The Vow sebenarnya menyuntik lebih banyak unsur romantis meruntun jiwa sekali gus memberi impak berbeza daripada genre komedi romantis yang sering dihidangkan kepada penonton panggung.

Penulis tertarik dengan cetusan rasa yang dilontar Channing, jujurnya lebih baik berbanding Rachel. Ia mungkin disebabkan naratif kisah yang lebih menjurus kepada permainan perasaan dan dugaan yang dilalui Leo, membuatkan Channing menyerlah.

Bagaimanapun sentuhan paling menakjubkan dan berjaya mengusik hati penulis ialah keserasian yang wujud di antara mereka. Sekalung tahniah kepada Michael Sucsy kerana berjaya menggarap sub-plot yang sangat indah buat tatapan penonton.

Momen paling jelas ketika mereka bertukar akujanji perkahwinan. Leo berjanji tidak akan melupakan saat cinta sekali seumur hidup. Kemudian apabila Leo mengajak Paige keluar 'berdating.' Alasan Leo dalam ringkas tapi mendalam, dia mahu isterinya jatuh cinta padanya sekali lagi!

Penulis tidak mahu bercerita panjang mengenai apa yang akan berlaku seterusnya kerana mahu anda merasai 'magis' cinta Leo dan Paige itu sendiri.

Daripada segi sinematografi dan kerja kamera, tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana apa yang penting jalan cerita filem ini yang berjaya mengusik hati dan perasaan penulis untuk 'melekat' di kerusi panggung.

Mungkin ada beranggapan The Vow hanya sebuah filem tangkap leleh dan sesuai untuk mereka berjiwa sensitif, tapi percayalah, The Vow bukan sekadar itu. Selain mengangkat tema cinta, lebih penting mengisahkan pengorbanan, nilai sebuah janji dan kesanggupan pasangan bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Filem ini sangat berbaloi buat tontonan pasangan baru berkahwin yang tercari-cari ruang sendiri malah sangat sesuai buat mereka yang sudah lama berkahwin dan mula 'hilang' rasa cinta.

Ulasan Amirul Haswendy Ashari



FILEM: The Vow
ARAHAN: Michael Sucsy
PELAKON: Rachel McAdams, Channing Tatum and Sam Neill
GENRE: Romantik Drama
TAYANGAN: 22 Mac 2012
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top