Ahad lalu penampilan mereka dalam drama Konspirasi Cinta arahan Eirma Fatima mendapat pujian kedua-dua pengkritik tetap, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Fauziah Nawi.
Penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan memeriah dan menyerikan lagi persembahan mereka. Kemunculan Datuk Jalaluddin juga untuk memberikan mereka peluang merasakan perasaan sebenar bergandingan dengan pelakon hebat itu.
“Bukan setakat berlakon bersama tetapi saya mahu mereka belajar berlakon dengan Datuk Jalaluddin. Saya mahu mereka merasai pengalaman bekerja dengan pelakon sehebat Datuk Jalaluddin. Sehebat mana pun lakonan kita, kita mesti terus belajar dan berguru dengan mereka yang lebih senior dalam bidang lakonan.
“Barulah kita tahu kedudukan kita di mana. Jangan cepat berpuas hati kerana ramai lagi yang akan muncul untuk menyaingi kita. Artis lama terus kekal kerana mereka bekerja dengan setulus hati, ikhlas menjadi anak seni dan paling penting mesti berdisiplin,” kata Eirma.
Pementasan teater kali ini juga mendapat perhatian kerana ia berkisar mengenai industri perfileman dan kali ini mereka dapat memberikan yang terbaik mungkin kerana lebih memahami naskhah yang diberikan.
Satu kejutan besar apabila, pelakon berbakat besar, Zul Huzaimy muncul di pentas teater demi salah seorang artis Pilih Kasih, Naqia Nasution, yang amat meminatinya.
Penampilan istimewa Farah Ahmad dengan monolog khasnya untuk Fauziah Nawi sangat menyentuh hati.
Apakah yang akan menimpa nasib 10 lagi artis yang bakal beraksi minggu ini? Rosyam masih mempunyai kuasa untuk menyingkirkan empat lagi artis PK3 sebelum mereka layak ke peringkat akhir. Pentas PK3 bersiaran secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Senawang, Negeri Sembilan, menerusi TV2, setiap Ahad, jam 9 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan