Anugerah Seni BOH Cameronian ke9 akan berlangsung pada 10 April ini bagi kategori teknikal, manakala bagi kategori lain ia akan diadakan pada 29 April.

Anugerah tahunan yang mula diperkenalkan pada 2002 itu, dengan tujuan menghargai penggiat seni persembahan tempatan, bagaimanapun dihentikan seketika dua tahun lalu.

Anugerah yang mempertandingkan 36 kategori itu diadili 20 juri bebas profesional dalam bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater, yang dilantik jawatankuasa penganjur. Selain kategori terbabit, kategori pilihan peminat turut diadakan melalui undian, yang membolehkan orang ramai memilih tarian, muzik, teater dan teater muzikal kegemaran masing-masing di dalam laman sesawang awards.kakiseni.com, bermula 26 April ini.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal menunjukkan taringnya pada Anugerah Seni BOH Cameraman ke-9 apabila dicalonkan dalam kesemua 12 kategori dipertandingkan bagi teater muzikal, bersaing hebat dengan The Secret Life Of Nora yang cemerlang dengan pencalonannya dalam 11 kategori.

Selain kategori rekaan tari, keaslian muzik, keaslian lirik, arahan muzik, persembahan, arahan, rekaan set, rekaan kostum dan solekan, rekaan bunyi serta rekaan cahaya, Kampung Boy yang diterbitkan Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Tall Order Production turut dicalonkan dalam kategori Persembahan Peranan Utama Terbaik dan Persembahan Peranan Pembantu Terbaik.

Nora pula mencatat kejayaan peribadi apabila dua pelakonnya, Adibah Nor dan Stephanie Van Driesen, dicalonkan dalam kategori lakonan pembantu, sementara bintang utama Kampung Boy, Awie, dicabar Ryan Silverman daripada teater muzikal terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina itu dalam kategori lakonan utama.

Selain dua teater muzikal berkenaan, Terima Kasih Cinta turut memberikan cabaran apabila dicalonkan dalam lapan kategori.

Bagi segmen teater pula, Short Eyes menerima lima pencalonan daripada sembilan kategori dipertandingkan, termasuk kategori Peranan Pelakon Utama Terbaik menerusi Zahiril Adzim dan Khairuadzwan Rodzy serta Peranan Pelakon Pembantu Terbaik melalui Nam Ron dan Ayam Fared.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah persembahan berkumpulan, arahan, keaslian skrip bahasa Inggeris, rekaan cahaya, rekaan set, rekaan muzik dan bunyi serta rekaan kostum.

Selain teater dan teater muzikal, segmen tarian yang turut dipertandingkan kali ini mempertaruhkan lapan kategori, manakala muzik pula tujuh. Semua kategori yang dipertandingkan menawarkan hadiah RM1,000.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top