Semuanya terbongkar apabila Jones didapati mempunyai rekod waran tangkap yang belum selesai selain menipu dengan menggunakan pelbagai nama bagi mengelakkan dirinya daripada ditangkap.
Barangkali Jones menyangkakan dengan menyertai American Idol segala-galanya akan selesai.
Tetapi sebenarnya lelaki yang digelar 'gentle giant' dalam pertandingan itu sudah tersilap langkah. Mungkin dia terlupa populariti American Idol itu sebenarnya membuka pekung dirinya sendiri.
Memang sayang seribu kali sayang apabila Jones disingkirkan kerana dia memiliki suara yang begitu enak didengar dan antara peserta yang berpotensi untuk pergi jauh.
Tetapi kerana kisah silamnya, dia dihukum untuk meninggalkan program yang mempunyai jutaan pengikut setia itu.
"Saya tidak lagi bersama dengan rancangan itu selepas ini," kata Jones ringkas menerusi akaun Twitter selepas dia diarahkan berbuat demikian sebaik sahaja dokumen waran tangkapnya dimuat naik dalam laman web, The Smoking Gun.
Ekoran daripada itu, akaun Twitter rasminya juga telah dipadamkan dan pengumuman itu telah diumumkan oleh pengacara American Idol, Ryan Seacrest pada episod persembahan minggu lalu.
Penyingkiran Jones juga mendapat reaksi pelbagai daripada peserta lain yang memberitahu mereka langsung tidak tahu-menahu tentang hal tersebut sehinggalah pada hari mereka membuat persembahan.
Seperti mana kata Penerbit Eksekutifnya, Nigel Lythgoe, pihaknya bukan bersikap prejudis tetapi mereka tidak mahu prestij program berkenaan tercalar dengan cerita yang mampu meninggalkan impak kurang baik.
"Kalau ada yang membuat kesalahan melibatkan jenayah berat dan seumpamanya, kami tidak akan sesekali memberi peluang. Mereka harus bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan.
"Dalam kes Jermaine, dia telah membuat kesilapan besar dengan menukar nama dan identitinya. Siapa tahu mungkin banyak lagi rekod jenayahnya yang barangkali tidak diketahui oleh pihak kami," katanya dalam satu temu ramah dengan program TMZ.
Rekod Jones termasuklah pernah ditahan kerana jenayah narkotik pada tahun 2006 dan dua tahun selepas itu pula, dia didakwa atas tuduhan menawarkan alkohol secara terbuka di tempat larangan.
Kemudiannya, pada tahun 2009 dan 2011, sekali lagi dia ditahan sebanyak tiga kali dan setiap kali dia akan memberikan identiti palsu kepada pihak polis.
Kontroversi terbaru ini hakikatnya bukanlah sesuatu yang pelik kerana sepanjang 11 musim American Idol bersiaran, ia telah melalui pelbagai insiden serupa apabila membabitkan kesalahan silam para pesertanya.
Siapa yang dapat lupa pada tahun 2003 apabila salah seorang pesertanya, Corey Clark dibuang daripada program itu selepas pihak produksi mendapati Clark di dalam perbicaraan kerana memukul adik perempuannya.
Begitu juga dengan salah seorang peserta separuh akhir musim kedua, Frenchie Davis yang diminta untuk meninggalkan program tersebut selepas gambar separuh bogelnya tersebar.
Seorang lagi peserta separuh akhir, Jaered Andrews yang terpaksa disingkirkan kerana terlibat dalam pergaduhan ketika meraikan kejayaannya sehingga menyebabkan kematian salah seorang pengunjung bar ketika itu.
Reda dengan keputusan
Bagai dijangka, peserta berusia 16 tahun, Shannon Magrane menjadi mangsa kedua selepas Jeremy Rosado apabila gagal mendapat undian tertinggi untuk terus mara ke peringkat seterusnya.
Membawakan lagu One Sweet Day nyanyian asal Mariah Carey dan Boyz II Men, lagu popular itu tidak mampu untuk menyelamatkan Magrane.
Malah, salah seorang jurinya, Randy Jackson menyifatkan gadis tinggi lampai itu silap percaturan dengan memilih lagu yang dianggap bukan sembarangan itu.
Dengan penyingkiran itu, secara automatik Magrane tidak akan dapat menyertai konsert jelajah American Idol pada musim panas nanti.
"Saya memang sedih dengan keputusan ini kerana inilah peluang yang saya nantikan sejak kecil. American Idol begitu dekat dengan jiwa saya.
"Namun, apabila difikirkan kembali, saya reda dengan segala-galanya. Malah, saya menganggap saya bertuah kerana bukan semua berpeluang menyertai American Idol dan mencapai ke tahap seperti ini," katanya dalam satu temu ramah bersama USA Today.
Walaupun baru berusia 16 tahun, namun Magrane suka mencabar dirinya dengan memilih lagu-lagu yang dilihat sukar untuk dinyanyikan.
Jika minggu lepas, dia memilih lagu One Sweet Day, persembahannya pada minggu pertama menerusi lagu I Have Nothing nyanyian asal Whitney Houston juga mendapat kritikan pelbagai daripada juri.
Lalu, apakah yang membuatkannya berfikir untuk memilih lagu-lagu daripada dua diva unggul itu sedangkan dia sendiri tahu bukan mudah untuk menyanyikan lagu-lagu nyanyian Houston dan Carey.
"Saya tidak rasa dengan memilih lagu-lagu Whitney dan Mariah adalah untuk menunjuk-nunjuk saya mampu menjadi sehebat mereka.
"Sebaliknya, ia adalah satu penghormatan untuk dua penyanyi hebat itu dan saya menyampaikannya dalam gaya tersendiri. Saya bangga melakukannya," ujar anak kelahiran Tampa, Florida, Amerika Syarikat ini lagi.
Untuk persembahan minggu ini, pihak produksi telah memilih tema lagu-lagu daripada penghibur terkenal, Billy Joel dengan dibantu oleh mentor minggu ini, Huey Lewis.
0 ulasan:
Catat Ulasan