Drama bersiri Desperate Housewives sentiasa mendapat sambutan penonton terutama wanita.

Namun begitu kisah Wisteria Lane itu sudah pun memasuki ke musim kelapan, sekali gus musim terakhirnya.

Drama bersiri yang ditanda sebagai rutin wajib dalam kalangan peminatnya itu memaparkan kehidupan dan nasib Susan Mayer, Lynette Scavo, Bree Van de Kamp dan Gabrielle Solis (Gaby). Musim terbaharu dimulakan dengan kemunculan Susan, Gaby, Bree, Lynette dan Carlos. Mereka cuba mengkebumikan mayat bapa tiri Gaby secara rahsia, bagaimanapun, perasaan bersalah menyelubungi setiap individu dengan cara yang berbeza.

Desperate Housewives musim kelapan

Susan mula mengasingkan diri daripada kawan-kawan dan keluarganya, sementara Gaby cuba menenangkan Carlos yang dihantui perasaan bersalah.

Pada masa yang sama, Lynette dan Tom menghadapi kesukaran melayari bahtera perkahwinan. Berbeza dengan Bree yang seolah-olah mendapat hikmah daripada kejadian itu, dia menemui jejaka idaman bernama Detektif Chuck Vance.

Saat musim kelapan diumumkan sebagai penamat segala kisah dalam Desperate Housewives, salah seorang pelakon utama siri yang bermula sejak tahun 2004 itu, Marcia Cross berasa amat sedih kerana sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada watak yang dijunjungnya, Bree Hodge.

Jika bukan kerana Desperate Housewives dan watak Bree itu sendiri, tidak mungkin untuk dia merasai nikmat kejayaan yang dia sendiri tidak pernah bayangkan. Siri itu dianggap kemuncak karier buat Marcia yang bergelar pelakon sejak 1984.

"Ia sesuatu yang mengejutkan. Sebelum mendapat pengesahan daripada stesen, memang ada terdengar tentang spekulasi penamatan Desperate Housewives. Mahu atau tidak, ia adalah realiti yang harus diterima. Ia sungguh menyedihkan dan saya akan pastikan musim terakhir ini meninggalkan impak," kata Marcia yang genap usia 50 tahun hari ini.

Siri popular itu turut dibintangi Teri Hatcher, Felicity Huffman, Eva Longoria, Vanessa Williams, Ricardo Antonio Chavira, Doug Savant, Jonathan Cake, Brenda Strong, Charles Mesure, Madison de la Garza dan James Denton.

Kesudahan siri popular itu boleh disaksikan setiap Selasa pukul 10.30 malam bermula 20 Mac lalu di saluran 8TV.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top