Norish memberitahu dalam keadaan sebak bahawa setelah sekian lama berada dalam keadaan tidak menentu untuk mengetahui sama ada anak-anak akan bersamanya atau tidak, keputusan hari ini sememangnya anat melegakan hati pelakon Spa Q itu.
Ditemui di luar mahkamah setelah hakim membacakan keputusan, Norish berkata, walaupun mendapat hak penjagaan ke atas Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8, itu tidak bermakna mereka tidak boleh berjumpa bapa mereka, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.
Terdahulu , mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan dan pilihan dibuat ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan secara sukarela dan tanpa paksaan. Mereka ditemu bual hakim kira-kira 30 minit di dalam kamar bagi membolehkan ketiga-tiga kanak-kanak itu membuat pilihan di hadapannya sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa mereka.
Selepas mendengar keterangan dan pilihan anak yang dibuat secara sukarela, Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin memutuskan hak penjagaan anak diserahkan kepada plaintif iaitu Norish sebagai ibu mereka.
Defendan yang juga bekas suami Norish, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir bagaimanapun tidak hadir prosiding itu kerana terlibat dengan prosiding lain. Datuk Hashimuddin bagaimanapun bersetuju prosiding diteruskan tanpa kehadirannya.
Norish atau nama sebenar Nor'asikin Karman, 36, dan Hashimuddin, 63, berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini, pada 15 Julai 2008.
Norish juga pada prosiding ini turut memfailkan tuntutan harta sepencarian serta tuntutan nafkah anak-anak termasuk permohonan supaya disediakan kenderaan dan rumah.
0 ulasan:
Catat Ulasan