Kata Shaheizy Sam jika boleh biarlah undian itu lahir daripada ketulusan jiwa peminat setianya. Justeru, sejak dulu Sam tidak pernah terbabit langsung dengan sebarang aktiviti mahupun kempen gerak-gempur bersama peminat, semata-mata untuk meraih undian.
Ia bukan caranya, malah semakin menghampiri tarikh 8 April ini, iaitu detik acara kemuncak berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, dia juga semakin jarang menggunakan laman sosial untuk berkomunikasi dengan peminat. “Saya tidak mahu peminat buat sebab terpaksa. Saya juga semakin jarang berhubung dengan mereka menerusi laman twitter. Bukan apa, saya tidak mahu disangka hanya berbaik dengan peminat disebabkan ABPBH. “Saya tidak kisah sama ada mereka mahu mengundi atau tidak. Tak bermakna apabila mereka tidak mengundi, saya akan marah dan tidak hargai peminat.
“Saya hargai setiap seorang daripada mereka. Mereka yang bayar gaji saya sebab sanggup keluar duit untuk menonton filem lakonan saya. Sebagai balasan atas sokongan mereka selama ini, saya akan cuba luangkan masa mengikuti siri jelajah yang diadakan.
“Tahun lalu saya tidak begitu berkesempatan mengikutinya kerana terlalu sibuk. Oleh kerana saya bercuti sejak Ogos lalu, saya akan cuba luangkan waktu bertemu dengan mereka kali ini,” kata Sam yang sudah pun turun ke beberapa lokasi.
Selepas bekerja keras sepanjang tahun lalu, semua hasil lakonannya akan menjengah pawagam tahun ini. Satu daripadanya ialah filem Aku Ada Kau Ada, yang turut menyaksikan Sam dan Yana Samsudin menyumbangkan suara untuk lagu Begini Caranya, ciptaan Ajai.
“Saya menyanyi untuk filem ini saja. Setakat ini, tak terlintas langsung untuk saya kembali menyanyi. Saya sudah tua, seganlah hendak menyanyi semula,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan MOB.
# Huh! Tak sangka Shaheizy Sam pernah menjadi penyanyi sebelum ni...
0 ulasan:
Catat Ulasan