Filem Iran, A Separation mencuri tumpuan pencinta filem kerana kemenangan filem ini meraih anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik pada dua acara anugerah berprestij, Golden Globe Awards ke-69 dan Academy Awards ke-84 pada tahun ini.

A Separation turut cemerlang di Festival Filem Antarabangsa Berlin dan Asia-Pacific Screen Awards yang memberi gambaran karya Iran mempunyai keistimewaan tersendiri pada mata juri yang menilainya.

Mengikut senarai anugerah diterima ketika ini, filem ini berbangga dengan 48 anugerah diterima bersama 20 pencalonan menerusi pelbagai acara anugerah yang disertai seluruh dunia.

Memberi kesinambungan pada kecemerlangan yang ditunjukkan, filem ini sekali lagi memberi kejutan pada karyawan antarabangsa apabila membolot anugerah utama pada Anugerah Filem Asia ke-6 yang berlangsung di Hong Kong.

Kejayaan A Separation menang Filem Terbaik pada acara ini mencipta sejarah sebagai filem Asia pertama dari negara luar Asia Timur yang mencatat nama sebagai pemenang. Senarai pemenang terdahulu datang dari Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Apa yang menjadi bualan, kemenangan filem ini memberikan petanda sememangnya anugerah ini mahu mengiktiraf karya negara Asia yang menjadi objektif penganjuran acara ini.

A Separation mengisahkan dilema pasangan suami isteri memperbaiki taraf hidup bersama anak mereka untuk berhijrah ke negara lain atau terus menetap di Iran sambil menjaga ibu bapanya mengidap penyakit Alzheimer.


Filem ini turut menang tiga anugerah lain termasuk Pengarah Terbaik, Penulisan Skrin Terbaik diberikan pada Asghar manakala Penyunting Terbaik untuk Hayedeh Safiyari.

Pada acara itu, pelakon filem ini Leila Hatami bersama Hayedeh naik ke pentas menerima anugerah Filem Terbaik mewakili Asghar.

"Sebagai masyarakat Iran, saya sangat berbangga apabila Iran disebut di seluruh dunia merujuk pada budaya dan filemnya tetapi bukan soal sekatan dan peperangan," kata Hayedeh mewakili ucapan Asghar.

Acara anugerah ini dianjurkan Persatuan Festival Filem Antarabangsa Hong Kong sejak 2007 menyaksikan 12 juri dipilih mengadili 14 anugerah yang diberikan pada pemenang. Kali ini, pengarah Singapura, Eric Khoo dilantik sebagai ketua juri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top