David Teo tak kisah dengan kutipan kasar sebanyak RM600,000 ke atas filem terbaru terbitannya, 7 Petala Cinta selepas empat hari ditayangkan.

Baginya, angka kutipan sebanyak itu dianggap sebagai cukup memberangsangkan kerana 7 Petala Cinta bercorak drama dengan isi cerita yang agak berat.

"Walaupun berunsurkan keagamaan, filem ini mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak. Saya tidak kisah dengan jumlah kutipan kerana ia akan melepasi nilai satu juta tidak lama lagi.

"Bagi sebuah filem berat, kutipan itu cukup memadai kerana ia bukan filem aksi yang menggunakan bajet tinggi. Filem ini di bawah paras bajet yang rendah," katanya ketika dihubungi Hip sambil memberitahu syarikatnya akan terus menerbitkan filem bergenre seperti itu.

"Daripada maklum balas peminat di fun page saya, mereka memberikan reaksi positif dan menyarankan genre seperti itu diteruskan. saya juga memikirkan untuk melahirkan dua atau tiga filem seperti ini.

7 Petala Cinta

"Lagipun, genre seperti ini tidak pernah ada di negara ini dan lari daripada genre seram yang sudah terlalu banyak kini," katanya yang mensasarkan filem itu mampu menarik minat pelbagai kaum untuk ditonton.

Selain itu, david tidak melihat kutipan yang sedikit disebabkan industri perfileman yang semakin lembap pada tahun ini.

"Jika cerita bagus, sambutan yang diterima juga akan baik. Jadi, sesebuah filem itu perlu mempunyai jalan cerita yang kemas dan menarik minat penonton untuk datang ke pawagam." katanya sambil memberitahu pada suku pertama tahun ini, filem terbitan syarikatnya sudah berjaya mengumpul rM20 juta bagi lima genre yang ditayangkan di pawagam.

Filem 7 Petala Cinta adalah filem cinta dengan suntikan keagamaan hasil garapan Azahari Zain, mengisahkan kehidupan remaja yang mendapat pendidikan dalam institusi keislaman.

Pelbagai insiden dan suka duka yang berlaku selain berdepan dengan kemelut yang akhirnya mengundang perspektif berbeza. Filem ini tidak hanya menyingkap kisah suka duka dunia remaja yang terperangkap dengan nafsu dan nilai budiman, namun turut memaparkan pengorbanan, persahabatan serta kisah cinta.

Filem arahan Azhari Zain ini membariskan pelakon seperti Fizo omar, diana Amir Aeril Zafril, shima Anuar dan Zalif sidek.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top