Kata Sami, dia percaya dengan penghasilan lagu yang bagus, berkualiti dan mempunyai mesej yang baik, ia mampu diterima dengan positif oleh semua pihak.
Apa yang penting katanya, usah sesekali menjadikan muzik sebagai mainan politik kerana ia tidak akan membawa sebarang makna dalam perjuangan seseorang karyawan.
"Saya sendiri pernah berhadapan dengan situasi ini di mana ramai beranggapan dengan muzik spiritual yang membawa mesej positif, saya dikatakan menyokong fahaman agama atau politik haluan kiri.
"Sedangkan matlamat saya hanya satu iaitu mahu menyampaikan mesej keamanan, kerohanian dan mengajak umat manusia tidak kira apa bangsa serta agama sekali pun untuk membuat kebaikan.
"Lalu, apabila muzik dijadikan mainan politik oleh segelintir pihak, ia adalah sesuatu yang kurang manis. Sedangkan, muzik yang baik seharusnya dinikmati tanpa sebarang prejudis," jelas Sami Yusuf.
Begitu juga dengan dakwah Sami menerusi lagu-lagunya yang jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh artis lain.
Namun kata Sami, ia bergantung kepada artis itu sendiri bagaimana mereka hendak menyampaikan dakwah menerusi muzik masing-masing.
"Saya tidak mahu melabelkan muzik saya sebagai satu dakwah yang agresif seolah-olah memaksa masyarakat untuk mengikut apa yang dihasilkan.
"Muzik saya lebih bersifat umum yang boleh dinikmati oleh semua orang tanpa perlu merasa kekok apabila mendengarnya.
"Saya mahu meraikan semangat manusia menerusi lagu-lagu ciptaan saya selain daripada memperingati kebesaran Allah SWT dan Rasullullah SAW," ujar anak kelahiran Tehran, Iran itu lagi.
Mula mencuri perhatian menerusi album pertamanya, Al-Muallim pada tahun 2003 dan seterusnya album keduanya, My Ummah (2005) yang terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai bintang antarabangsa.
Tiada siapa yang pernah menyangka hanya berbekalkan dua album itu sahaja, muzik Sami merentas sempadan dunia dari Amerika Syarikat, United Kingdom sehinggalah ke Timur Tengah.
Penerimaan terhadap muziknya telah melayakkan Sami untuk membuat persembahan di Wembley Arena, London; Shrine Auditorium, Los Angeles dan terbaru di Taksim Square, Istanbul, Turki yang berjaya menggamit seramai 250,000 orang penonton.
Uniknya muzik Sami apabila ia dinyanyikan dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Arab, Turki, Parsi, Urdu, Azeri dan Melayu yang terus melariskan penjualan album-album sehingga mencecah tujuh juta salinan seluruh dunia.
Untuk meluaskan lagi empayar seninya, Sami telah melancarkan album ketiganya, Wherever You Are yang membawa sisi lain dalam muziknya.
Membawakan muzik berunsur spiritique, dia mahu membawa pendengar dan pencinta muzik sekalian menghayati mesej kemanusiaan dan keamanan.
"Seperti yang dikatakan tadi, perjuangan muzik saya lebih kepada membangkitkan semangat kemanusiaan. Semua ini boleh didengari dalam album Wherever You Are.
"Saya menyifatkan album ini sebagai lambang kematangan diri dalam bidang seni dan ia menceritakan tentang siapakah Sami Yusuf sebenarnya.
"Mesejnya lebih sejagat dan menyeluruh kerana saya tidak mahu hanya menumpukan kepada seseorang itu sahaja. Jika lebih ramai dapat menikmati muzik saya dengan minda yang terbuka, itu adalah satu kejayaan buat saya," ujar Sami yang menulis lapan buah lagu dalam album ketiganya itu.
Antara lagu yang dimuatkan termasuklah Salaam, Without You, You Came To Me, Worry Ends, Make Me Strong, No Word Is Worthy dan banyak lagi.
Sebagai seorang pejuang muzik nasyid yang boleh dikatakan agak senior, Sami sempat ditanya tentang perkembangan muzik tersebut.
Apatah lagi dengan kehadiran penyanyi seperti Maher Zain yang menyemarakkan kembali industri nasyid, kata Sami, apa yang penting setiap penyanyi atau komposer haruslah memikirkan karya yang di luar kotak pemikiran.
Hanya dengan keaslian dan konsep yang berbeza, ia menjadi kunci kejayaan kepada seseorang artis itu untuk kekal lama di dalam industri.
Dalam hal ini, dia memberikan contoh kumpulan Raihan yang berjaya mengubah landskap muzik nasyid sehingga dikenali dan muzik mereka diterima di seluruh dunia.
"Begitu juga dengan saya. Sebagai seorang karyawan, saya perlu melalui proses evolusi muzik itu dalam mengembangkan muzik yang dibawakan.
"Tidak boleh statik dan hanya berada di takuk lama kerana itu akan menyukarkan lagi perjalanan karier seseorang artis itu.
"Bagi saya sendiri, apa yang saya lalui selama hampir sedekad menjadi penyanyi adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
"Syukur Alhamdulillah kerana kehadiran saya diterima dengan baik oleh masyarakat dunia yang menikmati muzik saya dengan positif dan terbuka," katanya yang mengharapkan album ketiganya akan mendapat sambutan baik daripada peminat muzik Malaysia.
0 ulasan:
Catat Ulasan