Kadar Pembelian Program TV di Malaysia tidak berubah. Sejak tahun 1995, harga pembelian program televisyen dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.
Bagi sebuah telefilem, sebut harga di RTM adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.
Bagi drama selama 30 minit, pihak RTM akan membayar pada harga RM20,000 hingga RM25,000, Media Prima (RM18,000 hingga RM20,000) dan Astro (RM18,000 hingga RM20,000).
Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 untuk RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).
Manakala bagi penerbitan dokumentari atau majalah, kadar harga yang diberikan oleh RTM ialah RM20,000 hingga RM25,000, Media Prima (RM15,000 hingga RM17,000) dan Astro (RM15,000 hingga RM17,000).
Oleh itu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen televisyen di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program televisyen yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.
Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, sekurang-kurangnya kenaikan sebanyak 30 peratus daripada harga pembelian sesebuah rancangan wajar diberikan kepada produser televisyen yang turut menggaji hampir 20,000 warga pekerja seni.
Tambah Jurey, jika harga pembikinan produk televisyen masih lagi dikekalkan kepada kadar yang ditetapkan pada 17 tahun dahulu, agak mustahil untuk penggiat seni melahirkan produk yang bagus dan berkualiti seperti negara-negara maju lain.
"Secara logiknya, dengan harga pembelian sedia ada, penerbit televisyen yang meraih keuntungan kecil terpaksa mengupah pekerja-pekerja dengan bayaran yang rendah sekali gus menjadikan warga pekerja produksi seni bertaraf rakyat miskin yang berpendapatan rendah dan tidak menentu.
"Apabila hal ini berlaku, maka mulalah perbalahan di antara persatuan-persatuan warga seni yang masing-masing menyalahkan penerbit sebagai majikan yang tidak berperikemanusiaan sedangkan harga pembelian masih pada takuk lama dan boleh membantutkan perancangan jangka panjang sesebuah syarikat penerbitan," tegasnya.
Katanya, ini juga bererti, kandungan bahan kreatif tempatan dapat dinaikkan setaraf dengan produk penerbitan negara-negara antarabangsa dalam tempoh masa lima tahun daripada sekarang.
"Industri Kreatif tempatan sebenarnya berpotensi menempa nama di persada dunia sekiranya kita inginkan ianya berlaku," katanya.
Lebih menyedihkan menurut Jurey, pelakon tambahan yang diperlukan dalam sesebuah drama hanya dibayar di antara RM80 hingga RM150 dan terpaksa menunggu seharian di lokasi penggambaran.
Dalam masa yang sama pihak produksi juga turut berhadapan dengan kos yang tinggi jika sesebuah penggambaran itu memerlukan mereka menyewa kereta mewah, menyewa rumah, kostum, keperluan kesan khas dan apa juga yang berkaitan dengannya.
“Jika kos membikin sesebuah drama terlalu tinggi tetapi pihak stesen televisyen masih lagi membayar harga pada kadar lama, produser kita tidak boleh cari makan. Mereka tidak dapat untung yang banyak kerana kos menghasilkan sesebuah drama yang baik dan bermutu memerlukan bajet tidak kurang daripada RM70,000,” katanya.
Tambah Jurey, pada tahun 1986, harga pembelian sesebuah telefilem sekitar RM120,000 hingga RM200,000 tetapi telah diturunkan pada tahun 1998 dengan alasankegawatan ekonomi dan seterusnya tidak lagi dinaikkan sehingga kini.
Katanya, pada hari ini dengan adanya banyak saluran televisyen, permintaan untuk menghasilkan karya tempatan adalah tinggi tetapi sayang sekali karya yang disiarkan di sesetengah saluran tidak berkualiti.
Ia disebabkan kekurangan bajet atau dalam erti kata lain produser mendapat keuntungan “ciput” sehingga menyekat kreativiti mereka untuk berkarya.
Petikan: Mstar
0 ulasan:
Catat Ulasan