Pelakon Fiffy Natasya dikatakan membuka tudung setelah menceburi dunia lakonan dan nyanyian berimej Kawaii. Namun Fiffy menjelaskan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan dibuat tanpa usul periksa terlebih dahulu. Malah orang yang membuat tuduhan tersebut belum mengenalinya secara dekat.

Fiffy atau nama sebenarnya Fiffy Natasya Suhaimi, 19, berkata dakwaan itu timbul kerana pada usia lapan tahun, dia pernah bertudung ketika menyertai kumpulan Wardah dan merakamkan tiga album kerohanian dan doa.

"Dalam kehidupan sebenar, memang saya tidak bertudung, kebetulan ketika zaman kanak-kanak saya pernah memakai tudung kerana terlibat dalam projek lagu-lagu kerohanian.

"Saya tidak perlu hipokrit dan mengakui sememangnya saya tidak bertudung, jadi dakwaan yang mengatakan saya membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni adalah tidak betul," jelasnya.

Pelakon yang semakin dikenali selepas membintangi drama popular Vanilla Coklat di TV3 ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikirannya dengan apa pun pandangan atau kritikan orang ramai kerana dia sentiasa peka terhadap gerak-gerinya sendiri.

"Saya tidak kisah apa juga orang cakap tentang saya kerana saya tahu apa yang dilakukan sentiasa berada pada landasan yang betul.

"Tidak bertudung bukan bermakna saya berkelakuan liar atau nakal. Saya jarang keluar bersiar-siar kecuali dengan keluarga jadi rasanya tidak timbul isu yang boleh mengaitkan saya dengan kontroversi atau perkara-perkara negatif," ujar pelajar jurusan farmasi di Kolej Segi ini.

Gadis yang dikenali dengan lagu Kawaii ini berkata, selepas hampir 10 tahun menceburi bidang seni, dia masih berusaha untuk mengukuhkan namanya sebagai bakat pelapis dunia hiburan tanah air.

"Kalau diikutkan, saya sudah mula berlakon pada usia 10 tahun dalam filem Cinta Kolestrol dan sejak kebelakangan ini barulah nama saya dikenali.

"Tidak dinafikan saya menerima tawaran lakonan yang berterusan tetapi kalau boleh, pada tahun ini saya mahu lebih dikenali dan berjaya," katanya lagi.

Fiffy Natasya

Kemunculan terbaru Fiffy adalah melalui drama terbaru lakonannya berjudul Pulau Pandan Jauh Ke? bersama Aliff Satar kini disiarkan di Astro Warna, selain Tangisan Bulan Madu 2 dan Mak Lang Datang Kompang Bergendang.

Ketika ini Fiffy dalam proses merakam single Jpop yang berjudul Cinta Playboy.

Fiffy juga baru sahaja menamatkan penggambaran dua buah filem Strawberi Cinta dan Left Wings yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top