Mencari Cinta lakonan Rusdi Ramli dan Nora Danish merupakan arahan bersama Shirin dan adiknya, Riezman Kuzaimi yang bertindak sebagai Pengarah Teknikal.
Menurut Shirin, biarpun tempoh penggambaran singkat namun tenaga kerja yang diperuntukkan untuk menyiapkan penggambaran di lokasi adalah dua kali ganda daripada biasa.
"Tempoh penggambaran singkat tapi kita menggunakan lebih banyak tenaga serta krew dan kualiti diutamakan. Memandangkan ini filem pertama, sudah pasti saya mahukan yang terbaik.
"Dua pengarah untuk satu filem adalah konsep yang sering digunakan di Hollywood bagi meringankan bebanan pengarah.
"Bagaimanapun tugas Riezman lebih kepada teknikal dan saya kepada lakon layar," katanya.
Tambahnya, filem bergenre romantik itu digarap bukan sekadar untuk tontonan tempatan, malah dia berhasrat untuk membawa Mencari Cinta ke Cannes, Perancis.
Kata Shirin, dia ingin mencalonkan hasil kerjanya itu untuk kategori Anugerah Pengarah Wanita pada Festival Cannes akan datang.
"Saya memang nak sertai festival filem di Cannes. Kami sudah hantar permohonan dan sudah mendapat maklum balas daripada penganjur. Kalau permohonan diterima untuk tahun ini, kami akan siapkan suntingan secepat mungkin.
"Kalau ditakdirkan tidak sempat tahun ini, mungkin tahun depan kami akan cuba lagi.
"Selain daripada festival filem Cannes, saya juga mahu sertai Festival Filem Montreux untuk kategori yang sama juga," katanya.
Menurutnya, untuk tayangan festival, ada beberapa babak yang bakal disiarkan di sana tidak terdapat untuk tontonan tempatan.
Salah satu babak yang dijangka tidak disiarkan untuk pawagam tempatan, adalah adegan romantik antara Razlan dan Myra.
"Kami sudah membuat persediaan sejak awal lagi, adegan mana yang akan disiarkan di sini dan untuk penyertaan festival.
"Walaupun adegan tersebut tidak disiarkan untuk peminat tempatan, tetapi ia masih lagi mengikut garis panduan. Apa yang kami paparkan dalam Mencari Cinta adalah kisah cinta suami isteri selepas berumah tangga," katanya yang tidak mahu orang salah anggap terhadap beberapa adegan yang dikira terlebih romantik itu.
Dalam pada itu, Riezman yang turut berlakon sebagai Malik berkata, filem terbitan Armnett Sdn. Bhd., dan Red Movies Sdn. Bhd., itu berkata, babak yang ditonjolkan tidak keterlaluan.
Katanya, setiap babak yang dipapar adalah cara si suami yang cuba memikat hati isteri lantaran pernikahan yang dilalui bukan atas persetujuan.
"Saya yakin selepas suami melihat, pasti mereka juga akan terikut untuk mengikut cara Razlan mengambil hati Myra.
"Sebenarnya, apa yang ditonjolkan dalam Mencari Cinta adalah kisah tanggungjawab seorang suami dalam rumah tangga.
"Secara dasarnya, Mencari Cinta adalah kisah berunsur Islamik tapi cara penyampaiannya dibuat sedikit komersial untuk disesuaikan dengan selera masa kini.
"Bagi memastikan skripnya tidak lari daripada objektif yang ingin disampaikan, sehingga waktu penggambaran, skrip diubah beberapa kali," cerita Riezman.
Katanya, skrip Mencari Cinta sudah sedia ada sejak empat tahun lalu dan bukan dihasilkan ekoran penerimaan orang ramai terhadap filem Ombak Rindu.
Mencari Cinta juga disertai dengan lagu tema yang didendangkan oleh Rizz dan Intan Suraya Rosly.
Dicipta Sharon Paul dan lirik oleh Ari, lagu berentak perlahan itu serasi dengan perjalanan cerita.
Sementara itu, Rizz berkata, pertama kali mendengar melodi lagu tersebut, dia sudah tertarik dan bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam penghayatannya.
"Melodinya amat menyentuh hati. Pertama kali diperdengarkan, saya jatuh cinta. Lagipun saya tengok jalan cerita Mencari Cinta menarik. Ini adalah peluang besar untuk saya mengetengahkan bakat.
"Tentang pasangan duet, sebenarnya antara saya dengan Intan tidak pernah berjumpa. Kami bertemu sewaktu di studio dan tidak sangka kami mudah bekerjasama," katanya yang bakal tampil dengan single Aku Yang Terbaik, ciptaan komposer Indonesia, Atra Petrana.
Bagi Intan pula, peluang yang ditawar kepadanya ibarat bulan jatuh ke riba dan secara tidak langsung membuka ruang untuknya mengembangkan bakat dalam bidang seni.
Katanya, dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan, biarpun gemar menyanyi.
"Intan memang kenal Shirin dan tidak sangka dia bagi peluang kepada Intan.
"Sebagai orang baru, Intan harap lagu ini dapat membantu memperkenalkan nama Intan dalam bidang seni," katanya.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
0 ulasan:
Catat Ulasan