Kebanjiran artis asing perlu dikawal

Kehadiran artis luar yang mencari nafkah dalam industri hiburan tempatan kini pada tahap yang serius dan memerlukan kawalan menyeluruh, kata Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Beliau berkata, langkah tersebut penting memandangkan kegagalan pihak berwajib untuk berbuat demikian boleh menyebabkan industri hiburan negara ini satu hari nanti menjadi milik artis-artis luar.


Menurut Zed, pendirian tersebut tidak bermakna beliau menentang keras kemasukan artis luar ke dalam industri hiburan tanah air tetapi kemasukan mereka (artis-artis luar) perlu dikawal.

"Tidak dinafikan kemasukan artis-artis luar ke negara kita bukan sahaja banyak membantu merancakkan industri hiburan tanah air bahkan juga menggalakkan persaingan antara artis luar dan tempatan. Persaingan sememangnya bagus.

"Cumanya, jika trend kemasukan mereka tidak dikawal melalui persatuan, apakah akan terjadi kepada industri hiburan tanah air kita dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang? Bagaimana pula dengan nasib artis-artis tempatan negara yang ingin mencari sesuap nasi di buminya sendiri?" kata beliau dalam program “Dalam Radar", terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zed turut melahirkan rasa kecewanya dengan aspek pengawalan kemasukan artis-artis luar ke dalam industri hiburan tanah air ketika ini, yang dilihatnya cukup longgar.

Katanya, keadaan sedemikian pula jarang berlaku di negara-negara lain kerana mereka telah melakukan pengawalan yang ketat terhadap kemasukan artis-artis luar.

Malaysia, tegasnya, turut mempunyai peraturan berkenaan namun ia tidak ditekankan secara menyeluruh.

Zed turut menyelar segelintir pihak yang cenderung mengagung-agungkan artis-artis luar dalam produksi mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu cara untuk meraih keuntungan dan kepentingan diri mereka sendiri.

"Malaysia memiliki penggiat seni yang hebat. Kenapa artis-artis tempatan tidak diangkat hinggakan perlu menggunakan artis-artis luar? Hakikatnya, kita mempunyai bakat yang cukup profesional dan bertaraf antarabangsa," katanya. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top