Siapa di dunia ini yang tidak mahu untuk hidup senang? Alangkah seronoknya jika tidak lagi perlu bersusah payah, bertungkus-lumus siang dan malam membanting tulang dan boleh menjadi kaya sekelip mata. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai di kalangan kita yang terjerumus dalam perbuatan haram dan kegiatan yang tidak sihat seperti main judi dan tikam nombor ekor dengan harapan berupaya memperoleh pulangan yang lumayan dengan cepat!

Justeru, ketika di ambang ketagihan dan apabila diracuni perasaan tamak, manusia akan diuji ketabahannya, dan siapa yang lemah pasti akan tewas terhadap bisikan dan hasutan puaka yang akhirnya akan menjadi misteri tidak terjawab. Oleh itu, slot Seram TV3 tidak akan membiarkan anda ‘keseorangan’ tatkala diselubungi kesunyian di malam hari menerusi tontonan hebat misteri terbaru “AMUKAN POCONG”, yang akan bersiaran mulai 15 Mac 2012, setiap Khamis, jam 9.30 malam. Drama siri ini bakal menyusul selepas berakhirnya “SANTAU MERASUK”, seterusnya akan ’menghantui’ penonton sebanyak 13 episod.

Terbitan Padi Pictures Sdn. Bhd., drama seram ini menampilkan tiga nama terkenal iaitu Aidilfitri Mohamad Yunos sebagai pengarah bergandingan dengan penerbit Nor Aliah Lee Abdullah dan turut mendapat sentuhan Sofea J. Rhyland yang bertanggungjawab menghasilkan skrip untuk AMUKAN POCONG. Drama seram ini juga memaparkan lakonan hebat dan penuh emosi daripada Azhan Rani, Ezany, Iqram Dinzly, Neelofa, Nabila Huda, Farlyna Idris, Sharifah Sakinah, Elly Mazlein, Namron, Siti Elizad, Liza Abdullah dan turut dibantu oleh ramai lagi. Uniknya, setiap episod mingguan akan menampilkan watak heroin yang berlainan daripada mula hingga kemuncak akhir siri ini.

Amukan

Sinopsis Amukan Pocong

Drama mengisahkan Long Husin, seorang kaki judi yang kemaruk dan 2 orang rakannya yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga membelakangkan syariat Islam dengan memuja kubur dan menggunakan khidmat bomoh Siam untuk mendapatkan ‘alamat’ nombor ekor untuk menang wang menggunakan cara mudah. Malangnya, Long Husin tidak menjangka sesuatu yang lebih dahsyat menanti mereka akibat perbuatan terkutuk itu.

Walaupun berjaya mendapat habuan besar pertaruhan, namun, tindakan mereka juga telah ‘membangkitkan’ pocong yang kini berkeliaran ganas dan menuntut darah 13 gadis sunti seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. Lebih tragis, tidak lama kemudian Long Husin sendiri terbunuh dan ilmu hitam yang telah ‘memakan diri’ menyebabkan jasad dan rohnya tidak aman sehinggakan terpaksa menanggung akibat menjadi pocong yang digeruni semua penduduk kampung!

Maka bermulalah kisah ngeri Long Husin yang kini harus mencari dan membunuh 13 gadis sunti untuk melunaskan janji yang pernah dibuat dengan syaitan akibat dorongan perasaan tamak haloba. Siapakah yang bakal menjadi mangsa amukan si pocong dan siapa pula yang berjaya menumpaskan kuasa ilmu hitam ini?

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Sebenarnya ramai kalangan masyarakat bukan sahaja kaum Cina dan India, malahan kaum Melayu sendiri sudah didedahkan dengan aktiviti berunsur judi seperti permainan tikam-tikam, seterusnya permainan komputer dan video dari zaman kanak-kanak sehinggakan apabila mencecah remaja mereka sudah biasa dengan perkara itu. Apa yang dikesalkan, orang-orang kita tidak berfikir panjang tentang dosa dan akibat buruk yang timbul, tetapi lebih mementingkan wang ringgit sehingga sanggup menggadaikan maruah orang lain dan keluarga sendiri.”

“Ketagihan judi boleh menyebabkan hilangnya wang simpanan, tabungan pendidikan anak-anak, bayaran perumahan, tabungan persaraan malah menimbulkan dorongan untuk melakukan jenayah serius. Kami berharap drama AMUKAN POCONG sedikit sebanyak dapat menimbulkan kesedaran dan memberi amaran kepada para penonton tentang bahaya dan kesan negatif kerana perjudian boleh menghancurkan atau memusnahkan kehidupan dengan sekelip mata jika tidak berhati-hati.”

Jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama AMUKAN POCONG menerusi slot Seram di TV3, setiap hari Khamis jam 9.30 malam mulai 15 Mac 2012. Penonton yang terlepas menyaksikan AMUKAN POCONG boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai drama AMUKAN POCONG.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top