Menurut pelakon Zarina Ann Julie, dia akan bernikah dan majlis itu akan berlangsung dalam waktu terdekat.

Zarina menjelaskan, sekarang ini dia mahu memberikan tumpuan kepada urusan pernikahan yang sedang rancak dilakukan. Apatah lagi kebelakangan ini, perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana sibuk menjalani penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid di Ipoh dan Ular terbitan KRU Studios.

“Saya mahu cepat bernikah kerana itulah jalan terbaik. Tambahan pula saya harap dengan keputusan dibuat ini, saya tidak lagi dikaitkan dengan kontroversi yang boleh mengaibkan. Kalau selepas bergelar isteri ada lagi orang nak cerita buruk mengenai saya terutama mengaitkan dengan mana-mana lelaki, saya tidak tahu hendak kata apa lagi,” katanya.

Bercerita mengenai siapakah jejaka yang berjaya bertakhta di hatinya itu, Zarina bagaimanapun enggan mendedahkan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Cukuplah sekiranya saya katakan dia kenalan lama. Perkenalan kami bermula sebagai rakan perniagaan. Jujur saya katakan, antara kami tidak ada perasaan cinta, tetapi saya percaya ia akan datang selepas kami bernikah.

“Saya sama sekali tidak mahu mendedahkan siapakah bakal suami kerana takut nanti apa yang berlaku kepada bekas tunang turut berlaku kepada bakal suami. Dulu saya silap, kerana mendedahkan tunang kepada umum. Niat saya baik dan tidak mahu hipokrit, tetap apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada orang dengki menyebarkan pelbagai cerita.

“Bukan itu saja, sehinggakan ada yang sanggup menghantar gambar saya sebelum ini kepada keluarga bakal mentua sehingga menyebabkan hubungan dijalin terputus. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mahu mendedahkan identiti bakal suami sehinggalah kami selamat bernikah,” katanya.

Puas ditanya siapakah jejaka bertuah itu, Zarina tetap mengambil tindakan tutup mulut. Malah dia sendiri yakin dengan keputusan dibuat walaupun kelak akan timbul pelbagai cerita kurang enak contohnya, konon bakal suaminya itu mungkin suami orang menyebabkan dia merahsiakan identitinya.

“Walaupun benar dia suami orang, sekurang-kurangnya kami membuat keputusan yang betul. Lebih baik saya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat, asalkan apa yang kami lakukan kelak halal di sisi agama.

Zarina Ann Julie

“Berbanding orang bujang bercinta sakan sehingga melakukan perkara di luas batas, ia lebih besar dosanya. Pada saya, keputusan baik yang mahu diambil ini sepatutnya mendapat restu ramai dan didoakan yang baik-baik saja buat kami berdua,” katanya.

Begitupun tegasnya, sepanjang mengenali jejaka pilihan hatinya itu, orangnya masih bujang dan belum pernah berkahwin. Keputusan dibuat selepas kedua-dua belah pihak berasakan ada keserasian antara mereka selepas beberapa tahun berkawan.

“Segalanya bermula apabila dia memberi cadangan mengapa tidak berkahwin kerana sangat baik dan akrab sebagai kawan. Saya sendiri mencari pasangan hidup yang bukan saja boleh menjadi suami dan bapa kepada anak-anak, tetapi rakan yang boleh dibawa berbincang membabitkan apa saja perkara.

“Sebelum ini saya pernah bercinta dengan lelaki yang dikatakan memiliki segala-galanya tetapi akhirnya tiada apa yang saya dapat. Cinta tidak membawa saya ke mana. Saya sudah penat berhadapan dengan kerenah lelaki tidak jujur.

“Sekurang-kurangnya dengan dia, saya tahu dia ikhlas dan jujur. Saya percaya selepas bernikah nanti, cinta akan datang dan ia mungkin lebih membahagiakan,” katanya.

Zarina turut menjelaskan, apa yang penting baginya adalah menyelesaikan majlis pernikahan yang tarikhnya juga dirahsiakan. Ia diadakan di rumah keluarganya dan hanya dihadiri keluarga rapat kedua-dua belah pihak.
~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top