Drama bersiri terbitan 8TV berjudul Projek Pop bakal membongkar kisah sebenar di sebalik kejayaan sesebuah konsert besar.

Apa yang lebih menarik mengenai drama bersiri itu adalah penglibatan beberapa nama besar dunia hiburan seperti kumpulan Hujan, Adibah Noor, Joe Flizzow dan ramai lagi.

Menurut pengarah bersama, Akmal Danial Mohemed Jaafar, atau lebih dikenali sebagai Atomsk dia memilih untuk mengarah drama bersiri tersebut kerana kelainan yang akan ditonjolkan projek Pop kepada penonton saluran televisyen itu.

“Gabungan realiti dan drama bakal memberikan kelainan kepada program ini.

“Secara jujurnya kami pernah melalui apa yang akan dipertontonkan dalam Projek Pop. Dengan pengalaman itulah kami percaya drama bersiri ini akan mewujudkan satu lagi fenomena baru kepada penonton,” katanya.


Sementara itu seorang lagi pengarah Projek Pop Khairul Azri Mad Noor atau Kroll Azry memberitahu dia percaya konsep yang pertama kali diaplikasikan dalam drama tempatan itu bersesuaian dengan cita rasa penonton Malaysia.

“Kami banyak belajar dari pelbagai sumber dalam memberikan keunikan untuk Projek Pop ini.

“Sungguhpun banyak menggunakan pelakon baru namun kami percaya kekuatan drama ini adalah kepada jalan ceritanya yang sentiasa mendambakan konflik dalam setiap episod,” jelasnya.

Ditanya bagaimana mereka berjaya menyakinkan Kumpulan Hujan serta beberapa artis popular lain untuk terlibat sama dalam drama bersiri itu, jelas Kroll Azry, ini kerana mereka hanya perlu menjadi diri sendiri.

“Saya akui ia bukan perkara mudah (untuk memujuk mereka).

“Bagaimanapun selepas memberitahu kesemua mereka hanya perlu menjadi diri mereka yang sebenar, iaitu sama seperti watak yang mereka bawa di dalam kehidupan seharian. Ternyata itu sangat mudah untuk mereka,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top