Sebelum ini, Jaafar ada seorang anak angkat lelaki,Rizal Zulkarnain yang kini sudah mencecah usia 23 tahun.
Sekarang hari-hari Jaafar Onn dipenuhi dengan rasa bahagia apabila si kecil Izat Iman menjadi peneman hidupnya.
Anak kecil itu istimewa kerana dialah yang menjadi punca pintu hatinya terbuka untuk mempunyai anak angkat lagi.
“Izat Iman saya ambil daripada sebuah keluarga susah di sebuah Felda di Johor. Pertama kali melihat dia, hati saya tersentuh dan sayu lantas terus buat keputusan untuk menjaganya.
“Memang kadang-kadang saya sibuk, tapi saya akan pastikan segala keperluannya terjaga dan akan bergilir-gilir menjaganya bersama adik,” katanya.
Bercerita mengenai perancangannya untuk Izat Iman, kata Jaafar, dia lebih suka membesarkan anak itu dengan didikan agama yang cukup.
“Sejak dia dilahirkan, saya tak pernah lupa untuk sentiasa memperdengarkan dia dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
“Saya mahu dia jadi seorang insan yang kuat agama. Kalau dia sudah besar, terpulang pada dia untuk menjadi seorang tahfiz atau bagaimana.
“Namun, apa pun jalan yang dia pilih kelak, biarlah pegangan agama akan menjadi nombor satu dalam hatinya,” katanya penuh harapan.
Kongsi Jaafar lagi, demi berkongsi kegembiraan kerana memiliki Izat Iman, kini dia bernazar untuk mengadakan amal pada setiap malam Jumaat.
“Saya akan masak bermacam-macam jenis lauk untuk dijamu pada mana-mana tetamu yang datang di Kitchen Studio, Cheras pada malam Jumaat.
“Itu memang niat saya. Memberi orang makan adalah satu amalan yang mulia. Sesiapa pun yang nak datang, silakan.
“Inilah salah satu cara saya untuk melahirkan rasa gembira dan tak salah kalau rezeki yang saya perolehi, saya kongsi dan bersedekah pada orang,” ujarnya menutup kata.
0 ulasan:
Catat Ulasan