Siri baru di 8TV, The Secret Circle bakal disiarkan setiap Selasa jam 9.30 malam bermula 6 Mac ini.

Drama 22 episod ini diadaptasi daripada karya penulis popular, L J Smith yang sebelum ini terkenal menerusi karya The Vampire Diaries. Ia mengisahkan seorang remaja perempuan yang sedar dirinya mempunyai kuasa sebagai ahli sihir dan terperangkap dengan perjanjian rahsia yang menjadi kunci pada pertempuran kuasa baik menentang jahat.

Sinopsis The Secret Circle
Plot penuh dramatik The Secret Circle ini merujuk pada watak utama, Cassie Blake lakonan Britt Robertson yang melalui episod kehidupan yang pelik selepas ibunya meninggal dunia dalam satu kebakaran misteri. Dia yang baru berusia 16 tahun kemudian menetap bersama neneknya, Jane di satu pekan kecil, Chance Harbor, Washington.

Berusaha menyesuai diri dengan persekitaran baru, Cassie berkenalan dengan Diana Meade. Mereka berkawan baik sehingga diperkenalkan kepada rakan Diana lain - Faye, Melissa dan Nick yang sering bersama dalam satu kumpulan.

Konflik persahabatan mereka mula wujud apabila Cassie bertemu dengan teman lelaki Diana, Adam. Cassie berasakan suatu yang aneh ketika berdepan Adam.

Ketika berjumpa dengan Dawn yang juga ibu pada Diana, Cassie mengetahui wanita itu adalah rakan ibunya ketika zaman kanak-kanak. Sebaliknya, Cassie tertanya-tanya mengapa arwah ibunya tidak pernah menceritakan sejarah silam dia dilahirkan di kawasan itu.

Segala persoalan yang bermain di fikiran Cassie mula merungkai jawapan yang dicari selepas rakannya itu membuat pengakuan mereka adalah ahli sihir dan kehadiran Cassie seolah-olah melengkapkan kumpulan itu sebagai satu bulatan atau 'circle'.


Melihat pada plot penceritaan yang penuh konflik, 8TV meletak kepercayaan drama bersiri ini dijangka mendapat sambutan positif penonton khususnya remaja dan penggemar kisah ahli sihir.

Aktres Britt Robertson berasal dari Charlotte, Carolina Utara, Amerika Syarikat menjadi tunjang utama dan pertaruhan penting pada kekuatan watak dalam drama ini.

Pelakon berusia 22 tahun ini mempunyai banyak pengalaman terbabit dalam drama TV termasuk Sheena (2000), Power Rangers Time Force (2001), Freddie (2005-2006), The Winner dan Crime Scene Investigation (CSI) pada 2007, Swingtown dan Law & Order: Special Victims Unit (2008) dan Life Unexpected (2010-2011).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top