Penyanyi dan pelakon Azza akan bernikah dengan Azlan Zulaily pada bulan April 2012.

Pasangan yang menolak untuk bertunang ini akan terus bernikah pada 1 April depan di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, setelah mendapat sepenuh restu keluarga.

Majlis persandingan pula khabarnya akan berlangsung penuh kemeriahan di pusat membeli belah Mydin Mall Ipoh, Perak tidak lama selepas itu.

Azza dan Azlan Zulaily

Menurut Azza, adalah terlalu klise untuk memperkatakan tentang istimewa seorang Azlan, 25, di matanya.

Bagaimanapun apa yang dia tahu, sifat matang dan berdakap erat dengan keluarga yang dipunyai sang arjuna, menjadikan dia cukup selesa berdampingan.

Pertama kali bertemu, Azlan bersama ahli keluarga lain menemani adiknya yang juga pendatang baru di dunia seni suara, Azril Zulaily, yang membuat persembahan di pusat membeli belah Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor pada hari terakhir tahun 2010.

Sekilas pandang saja, Azza mengaku dia telah jatuh hati apabila melihat seorang anak muda seperti Azlan, boleh sebegitu erat dengan adik-beradik dan emak kandungnya dalam acara itu.

"Saya kena mengaku pertama kali melihat Azlan, saya memang terus jadi suka. Tetapi sikap Azlan yang nampak sombong membuatkan saya menghentikan niat untuk bersahabat.

"Jika keluarga dia yang lain minta untuk bergambar dengan saya di majlis itu, Azlan sedikit berlagak dan langsung tak mahu bergambar bersama saya.

"Bagaimanapun, selepas persembahan sempena sambutan tahun baru 2011 itu, semua artis pergi makan di satu lokasi dan di situlah kami bertukar nombor telefon.

"Kami kemudian bertemu semula di laman sosial Facebook dan tidak lama selepas itu, persahabatan semakin erat dan alhamdulillah, akhirnya kami akan ke pelamin," katanya dalam debar dan gusar untuk menanti detik ijab kabul yang bakal menjelang.

Menurut Azza, sikap baik pramugara tampan Air Asia berusia 25 tahun itu, membuatkan dia mahu kembali memegang status isteri.

Selepas solo, inilah pertama kali kamar hatinya diketuk dan seperti 'disihir' dia pantas membukanya tanpa sebarang ragu.

"Sebelum ini saya temui banyak lelaki-lelaki yang baik di luar sana, tetapi tidak sampai ke tahap merancang bernikah. Orang kata, hati belum terbuka.

"Bagaimanapun dengan Azlan berbeza. Sebab itu kami memilih untuk segera bernikah supaya boleh membina kehidupan bersama-sama dengan segera," kata Azza tentang anak ke-3 daripada 6 beradik itu.

Azza di mata Azlan
Azza pula di mata Azlan adalah wanita yang buat pertama kali disunting sebagai isteri. Bukan tidak pernah ada wanita menyapa hati, bagaimanapun kuasa yang ada pada Azza bagaikan magnet yang sukar memisahkan mereka.

"Ciri utama yang saya suka ada pada diri Azza ialah dia sangat kelakar dan manja. Dia juga pandai membawa diri dan selalu menjadi diri sendiri, pendek kata tidak plastik langsung," kata Azlan memuji bakal isteri.

Menurut bekas kakitangan sebuah institusi kewangan ini, keluarga juga begitu selesa dengan Azza yang buat pertama kali bertandang ke rumahnya telah memperlihat seluruh keikhlasan.

"Walaupun artis tetapi hidup dia sama seperti wanita lain. Azza akan menjadi orang biasa di luar waktu kerja dia.

"Dan yang lebih penting lagi, keakraban dan sikap bertanggungjawab dia dengan anaknya, Marissa Jannah, membuatkan saya yakin untuk memilih dia menjadi ibu kepada bakal anak-anak kami nanti," katanya lagi.

Azlan berharap, selepas mereka bernikah, kisah dan kehidupan masa silam Azza tidak terus diungkit dan diceritakan dalam media.

Soal perpisahan dan kegagalan perkahwinan masa lalu, bagi Azlan telah menjadi sejarah dan selepas ini dia mahu bertanggungjawab sepenuhnya kepada kehidupan wanita itu.

"Saya berdoa semoga ini perkahwinan pertama dan terakhir. Saya tahu, bernikah dengan artis bukan mudah dan bakal berdepan dengan pelbagai cabaran kerana artis dianggap sebagai milik masyarakat.

"Bagaimanapun, saya percaya masyarakat kita masih ada pertimbangan. Hal-hal peribadi akan kekal sebagai hal peribadi dan kisah masa lalu Azza tidak diungkit-ungkit lagi," pinta Azlan.

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top